KUALA LUMPUR — Jenazah Imam Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh yang diterbangkan ke Kaherah, Mesir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selamat tiba di Gaza, Palestin, pada pukul 10.40 malam waktu Malaysia, hari ini.
Difahamkan, jenazah Allahyarham diterbangkan ke Kaherah dengan menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines pada jam 7.30 malam semalam sebelum dibawa ke Gaza menggunakan jalan darat.
Ketua Pegawai Ekssekutif, Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata perjalanan membawa jenazah Fadi itu mengambil masa kira-kira 12 jam untuk sampai ke destinasi setelah tiba di Kaherah, Mesir jam 10 pagi tadi.
“Syukur, perjalanan membawa jenazah Allahyarham bersama isteri dan anak-anak selamat sampai…setiba di sana, seluruh keluarga Fadi datang menyambut jenazah di kampungnya,” katanya kepada Bernama.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Enas Albatsh, 31, dan dua anak perempuan, Doaa, 6, Aseel, 4, dan seorang anak lelaki, Mohamad, yang berusia setahun.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan MyCare yang ditugaskan menemani jenazah dan keluarga, Farisul Islam, menceritakan detik sedih ketika perjalanan menuju Gaza, antaranya apabila anak-anak arwah sering bertanya mengenai arwah sepanjang perjalanan dan tidak mengetahui perkara yang terjadi.
“Anak-anak arwah sering bertanya di mana ayah mereka dan sepanjang perjalanan menuju ke Gaza, anak bongsu arwah, Muhammad, tidur di dakapan saya dan juga seorang penumpang lelaki yang menaiki penerbangan yang sama kerana rindukan ayahnya.
“Ia mungkin disebabkan Muhammad tidak mengetahui ayahnya telah syahid dan menunggunya di Syurga,” katanya.
Sabtu lepas, dalam kejadian kira-kira 6 pagi, Fadi yang juga imam ditembak mati ketika dalam perjalanan menuju ke surau di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh. – BERNAMA