KUALA LUMPUR – Jenazah Veteran UMNO Tan Sri Napsiah Omar selamat dimandi, dikafankan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, di sini, pada 9 pagi tadi. dan dijadualkan disemadi di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Melang Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Allahyarhamah kemudiannya dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Jawa, Kuala Pilah bagi memberi peluang kepada saudara-mara serta sahabat handai memberi penghormatan terakhir.
Seorang saudara terdekat allahyarhamah Datuk Yahya Hamid berkata jenazah bakal disemadi di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Melang Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebelum zohor.
Allahyarhamah yang meninggalkan empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1982, Menteri Perusahaan Awam (1987), Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial (1990) serta Anggota Majlis Eksekutif Negeri Sembilan (1995-1999).
Napsiah menyertai UMNO cawangan Kuala Pilah pada 1972 sebelum menjadi Anggota Parlimen Kuala Pilah selama tiga penggal sejak 1982.
Beliau kemudian menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah selama penggal selepas menewaskan Ruslan Kassim daripada PKR dengan majoriti 2,818 undi pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.
Pengerusi Tetap Wanita UMNO itu meninggal dunia pada 6.10 petang semalam akibat barah hati pada usia 74 tahun di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya dekat sini. – BERNAMA