PONTIAN – Jentera media sosial UMNO diingatkan supaya membantu, menyokong serta mempromosi semua calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 ini.
Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau telah mengarahkan 191 jentera media sosial UMNO untuk mempromosikan calon BN tanpa mengira parti komponen.
“Semua hendaklah menyokong calon BN tak kira daripada parti mana, UMNO ke MIC ke Gerakan ke… Saya nak ingatkan setelah penamaan calon nanti, semua perlu membantu mempromosi calon tak kira dari parti apa pun dia.
“Jangan ada sentimen tak setuju … walau bukan calon pilihan kita (daripada UMNO), kita tetap bertanding atas satu logo (BN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majis Ramah Mesra Bersama Nelayan di kawasan Pontian di sini, hari ini.
Pada masa sama, penyandang kerusi Parlimen Pontian itu turut mengingatkan jentera IT UMNO agar tidak menyebarkan fitnah mahupun berita separuh benar.
Pada majlis itu Ahmad Maslan turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan Pontian. – BERNAMA