SEUSIA 14 tahun, Mohd. Farhan Aliff Rosle sudah pun bergelar yatim piatu, gelaran yang tidak dipintanya namun itulah kepahitan yang terpaksa ditelan.
Dua tahun berlaku dan kini dia sudah berusa 16 tahun, namun ketabahan yang dipamerkan oleh Mohd. Farhan meruntun hati dan pasangan sesiapa sahaja yang mengetahui kisahnya.
Saat remaja lain menikmati keindahan alam remaja dengan curahan kasih sayang ibu bapa, Mohd Farhan pula sibuk membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi.
Bayangkan baru belasan tahun sudah terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah stesen kereta api di Sungai Petani, Kedah untuk menyara hidup tiga beradiknya yang lain.
Lebih pilu, Mohd Farhan yang menghidap apendiks sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, terpaksa jalani pembedahan sehingga tidak dapat menatap wajah ibunya buat kali terakhir kerana masih belum sedarkan diri.
Ikuti perkongsian penuh kisah ini yang mendapat lebih daripada 5,600 perkongsian dan semoga sikap dan ketabahan anak yatim piatu ini dapat dijadikan contoh teladan buat kita semua.
Anugerah Khas Penolong Kanan
Mohd Farhan Aliff Bin Rosle – 16 tahun.
SMK Sg Layar, Sg Petani, Kedah.
Jiwanya kosong, sekosong-kosongnya. Kehilangan ayah pada usia lima tahun, telah mengubah jalan hidupnya. Emak yang berniaga kuih dan nasi lemak kecil-kecilan akhirnya jatuh sakit, memaksa dia berhenti sekolah ketika darjah enam.
Pada saat rakan-rakan sebaya sedang menikmati keindahan alam remaja di bangku sekolah, dia sudah bersengkang mata dan menyarung seragam sebagai pengawal keselamatan di KTM Sg Petani.
Selama lebih setahun dengan gaji RM40 sehari, dia menyara kehidupan. Emak yang diserang stroke tidak mampu lagi bekerja seperti dulu kerana selalu saja tidak sihat.
Suatu hari, dia dikejarkan ke hospital akibat apendiks dan doktor memutuskan dia harus menjalani pembedahan kecemasan.
Pada masa yang sama, emaknya dimasukkan ke wad kerana masalah kesihatan yang makin meruncing. Emak di wad tingkat atas. Dia di wad tingkat bawah, bangunan yang sama.
Empat hari di wad, akhirnya emak pergi mengadap Ilahi. Dalam usianya 14 tahun, dia, abang, kakak dan adik perempuannya pun ternobat yatim piatu.
Lebih menyayat hati, saat emak menghembuskan nafas terakhir dia tiada di sisi kerana tidak sedarkan diri akibat pembedahan kali kedua.
Bahkan, dia bukan saja tidak sempat menyaksikan perjalanan terakhir emak ke liang lahad, memberikan kucupan terakhir untuk emakpun, tidak sempat kerana masih belum sedar.
Sebaik dia sedar dan dimaklumkan emak telah pergi, hanya Allah saja yang tahu betapa pilu dan hancurnya hati.
Sejak itu, saban malam dia menangis di wad. Menangis kesedihan mengenangkan emak yang telah pergi dan menangis menanggung kesakitan akibat pembedahan.
Dia dirujuk kepada Kak Pah. Kak Pah menziarahi dia di wad. Menceritakan pada dia tentang kehidupan di rumah anak yatim. Hanya satu soalannya.
“Kalau saya duduk rumah anak yatim, bolehkah saya sekolah semula? Saya nak sekolah”.
Keluar wad. Kakaknya menghubungi Kak Pah memaklumkan rumah mereka berteduh sebelum ini sudah dilelong bank.
Kakak, abang dan adik perempuannya memilih untuk tinggal bersama saudara mara. Tetapi dia enggan meninggalkan rumah pusaka itu kerana terlalu sedih mengenangkan kenangan arwah emak.
Kak Pah menghubungi dia tapi dia memberikan alasan meminta masa barang seketika sehinggalah satu hari Kak Pah mendapat mesej yang sangat pelik daripada dia. Penuh kesedihan dan kekecewaan.
Kak Pah dan staf rumah anak yatim bergegas ke rumahnya. Sungguh hiba melihat keadaan dia yang sudah terbaring di tilam usang selama seminggu dalam keadaan sakit akibat kesan pembedahan. Tanpa makan minum yang sempurna, mengharapkan ehsan seorang kawan yang tinggal di kawasan itu.
Rumah yang sudah dipotong bekalan air dan elektrik itu sudah tidak layak dihuni kerana kotor dan semak. Kata jirannya mereka juga tidak tahu dia ada di dalam rumah itu yang kelihatan sunyi sepi.
Dia dipapah keluar dari rumah itu sehelai sepinggang dalam deraian air mata.
Hari ini, dia menerima Anugerah Khas daripada pihak sekolah atas tingkah-lakunya terpuji dan jati dirinya yang berusaha untuk bangkit semula walau telah dua tahun terkandas dalam persekolahan.
Anugerah ini bukan saja sungguh bermakna buat dia, bahkan buat kami semua warga rumah anak yatim yang selama ini tidak jemu memberikan dia dorongon dan harapan.
Sama-samalah kita doakan, semoga Dik An akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. – MYNEWSHUB.CC