NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah jenis methamphetamine seberat 40 kilogram (kg) bernilai RM2.3 juta dalam serbuan di sebuah stor di Subang Jaya, Selangor pada Isnin lepas.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Zulkifli Yahya berkata serbuan pada 8 malam itu dibuat setelah pihak JKDM mengekori sebuah kontena yang mencurigakan dari Pelabuhan Klang yang diikrarkan membawa garam dari Pelabuhan Chennai, India.
“Hasil serbuan mendapati tujuh warga Bangladesh sedang memunggah guni berisi garam ke dalam stor sambil dipantau oleh seorang lelaki tempatan berbangsa India sebelum mendapati 20 daripada 400 guni garam tersebut mengandungi dadah jenis methamphetamine.
“Bungkusan dadah itu diletakkan dalam sebuah bekas plastik dan dibaluti plastik lutsinar. Lelaki tempatan terbabit kemudiannya mengasingkan guni itu mengikut nombor siri,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Cawangan Narkotik JKDM Kampung Jijan di sini, hari ini.
Zulkifli berkata siasatan lanjut kini dijalankan untuk mengenal pasti adakah dadah tersebut hanya transit di negara ini sebelum dipasarkan ke luar negara atau untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata kesemua lapan lelaki itu direman tujuh hari bermula Selasa lepas, bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Saya turut menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat pada JKDM jika terdapat sebarang kegiatan penyeludupan dadah, rokok, arak, mercun dan lain-lain barangan di talian 1800-88-8855,” katanya. – BERNAMA