MUNGKIN anda pernah berlari bersama pasangan tetapi adakah anda pernah memikul pasangan sambil berlari? Di Eropah aksi tersebut dijadikan sebagai salah satu sukan kejohanan tahunan.
Lebih daripada 40 pasangan suami isteri telah menyertai Kejohanan Pikul Isteri yang meriah berlangsung kali ke-11 di Dorking, England kelmarin.
Dipercayai bahawa kejohanan tersebut dilaksanakan berikutan kisah legenda perompak Ronkainen pada abad ke-19 yang gemar menghuru-harakan kampung dan melarikan kaum wanita.
Lapor BBC News, suami perlu berlari sejauh 380 meter dengan memikul pasangannya yang berpaut pada bahagian belakang dan kaki isteri diposisikan di atas bahu suami.
Peserta perlu berhadapan dengan beberapa rintangan dan halangan, antaranya melalui kawasan licin dan basah akibat disembur air oleh orang ramai, mendaki setinggi 15 meter dan laluan yang mempunyai penghadang.
Antara peraturan yang ditetapkan dalam kejohanan tersebut, setiap isteri perlu mempunyai berat sekurang-kurangnya 50 kilogram dan penalti bagi setiap pasangan yang terjatuh semasa larian.
Terdapat insiden yang berlaku semasa kejohanan apabila terdapat pasangan yang tidak dimaklumkan identitinya kepada media telah mengalami kecederaan akibat tergelincir semasa larian tersebut.
Pasukan perubatan yang dipanggil oleh pihak penganjur telah merawat peserta di kawasan tersebut dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kejohanan tersebut telah dimenangi oleh Chris Hepworth bersama pasangannya Tanisha Prince.
Menurut Chris, pendakian bukit adalah lebih mudah baginya dan menuruninya adalah cabaran yang besar.
Kemenangannya sekali gus melayakkan mereka ke peringkat dunia di Finland yang akan berlangsung pada Julai depan.
“Mungkin kami sekali lagi yang akan menangi pertandingan tersebut nanti,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/MIZE