KUANTAN – Tindakan individu yang mempertikaikan sistem pemilihan calon Barisan Nasional (BN) secara terbuka termasuk menerusi media sosial hanya disebabkan tidak terpilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata mereka sepatutnya membuktikan kematangan dan menerima keputusan pucuk pimpinan dengan hati terbuka.
“Inilah masanya anggota parti diuji sama ada apa yang kita cakap selama ini hanya bersifat retorik atau betul-betul menghayati konsep kesetiaan kepada parti.
“Selama ini kita mendengar mereka bercakap akan menyokong siapa sahaja yang dipilih. Jadi di sini kita boleh melihat bagaimana mereka yang tidak dipilih menghadapi ujian ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fasa 2 Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, di sini hari ini.
Turut hadir balu legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata dalam kalangan Pemuda UMNO sendiri terdapat ramai yang tidak terpilih sebagai calon, namun mereka tetap turun padang bagi memastikan kemenangan BN.
Mengulas mengenai akademi itu, Khairy berkata penubuhannya yang dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara dengan kos RM85 juta itu akan membantu melahirkan pemain bola sepak bertaraf dunia.
“Akademi ini telah menerima kemasukan kumpulan pertama pelajar dua minggu lalu melibatkan 185 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat. Secara keseluruhannya, ia boleh menempatkan sehingga 375 pelajar,” katanya.
Khairy berkata pelajar akademi itu dipilh daripada yang terbaik untuk menjalani latihan di semua pusat latihan bola sepak di seluruh negara.
Beliau berkata akademi itu diwujudkan menerusi dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan satu bangunan dan lima padang bola sepak manakala fasa kedua pula merangkumi 10 padang termasuk satu padang sintentik dan fasiliti lain seperti pusat fisioterapi.
Mengulas perkembangan lain, Khairy berkata beliau masih belum menerima laporan berhubung dakwaan seorang atlet negara yang meraih gangsa pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia gagal ujian doping yang dikendalikan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas).
Dakwaan itu yang disiarkan di laman sosial bekas wartawan sukan pada dua hari lalu, mendakwa atlet berkenaan menjalani ujian doping sebelum temasya berlangsung, namun keputusan hanya diperoleh selepas Sukan Komanwel berakhir. – BERNAMA