SEJARAH Johor Lama tersimpan pelbagai cerita terutama semasa zaman kegemilangannya selepas Kerajaan Melaka jatuh ke tangan penjajah Portugis pada abad ke-16.
Justeru usaha berterusan ahli arkeologi tempatan dalam pencarian warisan peninggalan khazanah zaman tersebut ternyata berhasil.
Menurut Berita Harian, kumpulan Archaeology JDT telah mengadakan usaha cari gali artifak lama di sebuah perkampungan di daerah Kota Tinggi bermula pada 7 April lalu.
Usaha tersebut nyata tidak sia-sia apabila kumpulan berkenaan berjaya menemukan barangan yang dipercayai digunakan semasa zaman Kesultanan Johor Lama dari tahun 1528 hingga 1699.
Artifak ditemui termasuklah mata wang kupang diperbuat daripada emas, mata wang keton yang diperbuat daripada timah, peralatan rumah, alatan pertukangan, persenjataan, peralatan menangkap ikan serta perhiasan rumah.
Barangan berusia sekitar 400 tahun itu telah dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru, semalam.
Baginda turut berkenan meluangkan masa meneliti hasil cari gali itu yang dipersembahkan oleh pasukan arkeologi diketuai Ketua Ekskavasi, Raja Kamarazaman Raja Salim.
Melalui catatan di laman sosial Facebook rasminya, baginda bertitah supaya semua artifak yang ditemui itu perlu diaudit oleh Muzium Diraja Abu Bakar sebelum dipamerkan dengan kerjasama pasukan arkeologi terbabit.
“Khazanah yang ditemui itu menunjukkan kegemilangan dan kemakmuran Johor sejak zaman kesultanan yang dahulu,” titah Sultan Ibrahim. – MYNEWSHUB.CC/MIZE