KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk menggubal rang undang-undang berkaitan hak-hak wanita seperti Rang Undang-Undang Kesaksamaan Gender bagi mengimbangi peranan lelaki dan wanita dalam pembangunan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata penggubalan akta itu dijangka dapat merapatkan ketidaksamaan gender yang wujud antara wanita dan lelaki dengan memasukkan prinsip Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dalam undang-undang Malaysia.
“Fenomena seperti penglibatan yang rendah dalam kalangan wanita di peringkat kepimpinan, stereotaip dan pengasingan pekerjaan dalam bidang profesional, gaji tidak seimbang, hierarki wanita dalam masyarakat dan sebagainya akan dapat ditangani dengan penggubalan akta ini,” katanya semasa waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) mengenai perkembangan dan tindakan kementerian dalam menggubal Rang Undang-Undang Kesaksamaan Gender.
Rohani berkata undang-undang itu akan membantu menghapuskan diskriminasi dan menegakkan kesaksamaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Rohani, penggubalan akta itu masih di peringkat konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan semua pandangan diambil kira.
Katanya, kementeriannya juga mengadakan bengkel pada 2017 yang bertujuan membincangkan rasional mewujudkan Akta Kesaksamaan Gender serta memberi pemahaman mengenai peruntukan cadangan penggubalan rang undang-undang itu.
Beliau berkata bengkel itu melibatkan agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta agensi luar seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, kementeriannya juga telah mengadakan sesi perbincangan susulan dengan Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara serta pihak NGO pada 29 Mac lepas dan beberapa siri perbincangan lanjutan akan diadakan tahun ini melibatkan semua agensi kerajaan, negeri-negeri, kaukus wanita Parlimen Malaysia, NGO dan pihak-pihak berkepentingan. – BERNAMA