KOTA BELUD – Pembangunan negara yang kukuh terletak kepada kejayaan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang memenuhi ciri keperluan abad ke-21, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Sehubungan itu, beliau berkata adalah sangat penting untuk mengenal pasti dan menggunakan pendekatan terbaharu bagi membangunkan modal insan yang benar-benar berketrampilan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Dalam konteks ini, kita perlu memastikan para pelajar yang dilahirkan, tidak lagi bersifat modal insan yang biasa iaitu hanya untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya mempunyai bakat menghadapi persaingan dan menyumbang kepada penyelesaian cabaran-cabaran semasa dan akan datang.
“Justeru, pembangunan bakat dalam kalangan pelajar perlu memperlihatkan ciri-ciri yang disimpulkan seperti ciri Pemikiran Kritikal dan penyelesai masalah, Keberkesanan Berkomunikasi, berkolaborasi dan bekerja dalam satu pasukan, Kreatif dan inovatif serta Celik budaya.
“Saya percaya, pelajar yang memiliki kelima-lima ciri tersebut dapat menepati keperluan negara untuk bersaing dan berhadapan dengan cabaran-cabaran global,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Sekolah Hub ‘Frog Classroom’ daerah Kota Belud di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Said, dekat sini hari ini.
Salleh juga berkata pembangunan modal insan di negara tidak lagi seharusnya bergantung kepada soal menyediakan akses semata-mata, sebaliknya membangunkan pengalaman dan pengetahuan berkualiti yang diterima oleh seseorang individu.
“Ini kerana modal intelektual akan berupaya menjamin pembangunan negara yang berkualiti dan mapan,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Salleh berkata pihaknya sangat mengalu-alukan usaha YTL Corporation Bhd kerana membiayai semua kos untuk mewujudkan Frog Classroom di SMK Agama Tun Said, terutamanya dari segi peralatan seperti kerusi meja, cat dan peralatan fizikal yang lain.
“Saya percaya usaha YTL membantu mewujudkan Frog Classroom ini akan melahirkan beberapa trend baharu seperti globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi e-digital yang maksimum,” katanya.
Program Frog Classroom ialah projek pengubahsuaian yang direka untuk mentransformasi bilik darjah kepada sebuah ruangan yang ceria, serta bersesuaian dengan tahap kolaborasi dan penglibatan yang diperlukan untuk pembelajaran abad ke-21.
Transformasi bilik darjah ini adalah usahasama antara Yayasan YTL dan semua guru, ibu bapa serta pelajar di sekolah-sekolah berkenaan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…