BERANG… Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis terhadap seruan biadab seorang paderi Kristian tempatan baru-baru ini.
Media tempatan melaporkan Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), UUM itu merujuk kepada hebahan rasmi Bishop of Melaka-Johor Diocese, Rt. Rev. Bernard Paul kepada penganut Katolik di negara ini.
Antara diserunya ialah “Tidak ada kerajaan dan pemerintahan yang bersih, pilihan raya bersih; institusi yang bersih; penguat kuasa bersih, pengurusan kewangan dan sumber yang bersih; tidak ada pemimpin boleh dipercayai.”
Laporan oleh Kamarul Zaman itu dibuat di Balai Polis Changlun, Kedah, diikuti laporan polis serupa oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Madya Dr. Shafaai Musa, di Balai Polis Simpang Ampat, Melaka.
Dalam laporan itu, beliau menyatakan kritikan keterlaluan oleh Paul boleh mengapi-apikan penganut Katolik untuk bukan sahaja mengundi Pakatan Harapan tetapi bertindak di luar undang-undang untuk menjatuhkan kerajaan.
Kamarul juga mempersoalkan gesaan Paul dalam hebahan tersebut yang agak keras berbunyi, “Marilah kita bersama-sama membina sebuah Kerajaan Tuhan” sebagai merujuk kepada pewujudan pemerintahan Kristian.
Menurut Kamarul Zaman dalam temuramah bersama portal tempatan Menara.my, hebahan tersebut menjadi kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948, kerana mempunyai kecenderungan berbaur hasutan jahat.
Ini termasuk mahu ”mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan” selain kecenderungan untuk pelbagai agenda tersirat yang lain.
Kamarul Zaman menambah lagi, apabila Paul menyatakan bahawa sistem pilihan raya di negara ini konon tidak adil, ia sedang mewujudkan sentimen tidak senang hati dengan sistem yang wujud di negara ini secara keseluruhan.
“Tambah pula apabila beliau menyatakan bahawa, ‘Sistem pilihan raya kita tidak adil’, ini boleh mewujudkan rasa tidak senang hati kalangan penganut agama Kristian jika pihak yang mereka sokong kalah dalam pilihan raya.”
Sehubungan dengan perkara tersebut, Kamarul Zaman turut menggesa pihak polis untuk segera membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Paul sebelum keadaan semasa menjadi lebih tidak terkawal.
Selain daripada hebahan dibuat Paul, terdapat juga usaha pihak Radical Extremist Christian State atau dikenali sebagai RECS yang ingin menggunakan pendekatan kekerasan demi mengubah kepimpinan politik negara ini.
Gerakan bersifat antarabangsa itu memiliki rangkaian di banyak negara khususnya di Asia kononnya berjuang untuk menyebarkan dakwah agama tersebut dan memurtadkan penduduk bukan Kristian. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA