IPOH — Barisan Nasional (BN) Perak dijangka menampilkan lebih ramai calon wanita, pemuda dan puteri dari semua parti komponen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi BN Perak dan juga Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata nama-nama calon sudah ada.
Namun beliau tidak mengulas lanjut nama calon yang akan bertanding.
“Sebagai mantan Ketua Pemuda Umno dan BN Perak, saya tidak akanlupa menamakan calon dari Pemuda dan juga Puteri untuk bersama menghadapi PRU14,” katanya apabila melancarkan Himpunan Jentera Briged Gempur 2314 Pemuda BN Perak di sini hari ini.
Kira-kira 2,000 orang membanjiri kediaman rasmi Menteri Besar bagi majlis pelancaran itu. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Pemuda Perak Khairul Azwan Harun.
Zambry berkata Jentera Briged Gempur telah menunjukkan kesiapsiagaan menghadapi PRU14.
Sementara itu, Khairul Azwan ketika berucap meminta agar Pemuda BN Perak memberi fokus untuk memastikan anak muda balik mengundi pada 9 Mei.
“Saya nak mulai saat ini Briged Gempur Pemuda BN Perak ke hadapan bukan sahaja mempertahankan bendera, poster dan perjuanagan tetapi pergi mencari anak muda yang berada di luar untuk mereka balik mengundi.
Beliau juga meminta agar Zambry dan Saarani memastikan agar keperluan dan aspirasi anak muda dimasukkan dalam manifesto PRU14 pada Rabu ini.
“Saya merayu Menteri Besar meminta kepada Perdana Menteri agar calon anak muda (Pemuda BN) dan Puteri (BN Perak) diketengahkan kerana kita percaya lebih 40 peratus pengundi adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah,” katanya. – BERNAMA