MUKHTAR Gusengadzhiev, yang pernah dinobatkan oleh Guinness World Records sebagai lelaki paling fleksibel di dunia, telah dipenjara 22 tahun.
Ia selepas dia didapati bersalah atas tuduhan jenayah seks terhadap enam kanak-kanak perempuan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah di Rusia meskipun terdapat 1,500 peminat lelaki berusia 53 tahun ini yang menghantar petisyen mendakwa dia telah diperangkap.
Mukhtar sebelum ini telah dimasukkan ke penjara sejak 2015 dan hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah lebih lama daripada beberapa pesalah dalam kes bunuh di Rusia.
Salah seorang kanak-kanak yang terlibat adalah anak perempuan kepada bekas kekasihnya yang berusia sembilan tahun.
Kanak-kanak itu memberitahu polis bahawa Mukhtar berulang kali membuka bajunya dan menyentuh alat sulitnya.
Perbuatan itu dilakukan antara 2012 hingga 2015. Kebanyakan mangsa lain merupakan anggota keluarga kepada kawan-kawan dan saudara maranya.
Ketika serbuan dilakukan di rumah Mukhtar, polis menemui beberapa video lucah kanak-kanak. Mukhtar bagaimanapun tidak mengaku salah dan mendakwa dia telah diperangkap oleh bekas kekasihnya itu, Inna Volkova.
Dia juga mendakwa keluarganya memerangkapnya bagi merampas rumah mewah miliknya.
Mukhtar, yang turut terkenal di kalangan bintang Hollywood, pernah membuat persembahan di 40 negara di seluruh dunia. – MYNEWSHUB.CC