DHAHRAN – Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Maghribi, Nasser Bourita berkata Sidang Kemuncak Arab ke-29 yang diadakan di Dhahran di Arab Saudi minggu ini telah sebulat suara mengesahkan sokongannya terhadap tawaran Maghribi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2026.
Bourita memberitahu wartawan selepas sidang kemuncak itu berakhir pada Ahad bahawa Liga Arab “sebulat suara mengesahkan sokongannya terhadap tawaran Maghribi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2016 dan menyeru semua negara (anggota) untuk memberikan sokongan penuh dan teguh kepada tawaran ini”.
Sidang kemuncak Arab ke-29 itu berlangsung pada Ahad dengan penyertaan Putera Maghribi, Moulay Rachid, yang mewakili Raja Mohammed VI.
Sidang kemuncak berkenaan dihadiri oleh beberapa raja, putera, ketua negara dan kerajaan serta wakil negara-negara Arab, di samping para pegawai pelbagai organisasi antarabangsa dan serantau.
Sementara itu, Afrika Selatan akan menyokong tawaran Maghribi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA), Danny Jordaan.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata Afrika Selatan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Maghribi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia buat kali kedua di Afrika.
Pencalonan Maghribi adalah bagi Afrika, kata Jordaan, sambil menyatakan kesanggupannya untuk melakukan yang terbaik supaya seluruh benua Afrika menyokong pencalonan Maghribi. – BERNAMA