JUARA bertahan, Real Madrid membawa bekalan dua gol ke Bernabeu selepas mengatasi wakil Jerman, Bayern Munich 2-1 di Allianz Arena dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Tambah malang, Bayern terpaksa melupakan khidmat dua pemain penting iaitu pemain antarabangsa Belanda, Arjen Robben yang terpaksa dikeluarkan seawal minit ke 8 akibat mengalami kecederaan dan pemain pertahanan, Jerome Boateng.
Skuad kendalian Jupp Heynckes lebih banyak menguasai perlawanan dan mereka berada di depan selepas 28 minit apabila bek kanan Jerman, Joshua Kimmich bijak memperdayakan Keylor Navas untuk gol pertama perlawanan.
Nampak tenggelam sepanjang babak pertama, Real menyamakan kedudukan apabila Marcelo melakukan rembatan rendah menewaskan Sven Ulreich pada minit ke 44 untuk perlawanan kembali seimbang.
Bintang Poland, Robert Lewandoski hampir menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan, namun tandukannya berjaya diselamatkan Navas.
Bersambung babak kedua, Bayern dikejutkan dengan gol kedua pelawat apabila kesilapan Rafinha mudah dihukum Marco Asensio pada minit ke 57, gol pertama pemain muda Sepanyol itu dalam 10 penampilan di Eropah.
Ronaldo hampir menambah derita tuan rumah pada minit ke 70, mujur gol tersebut dibatalkan pengadil kerana penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah itu dikatakan menggunakan tangan sebelum melakukan rembatan.
Biarpun terus mengasak memburu gol penyamaan, Bayern terpaksa menelan kepahitan, tumpas di laman sendiri sementara Real membawa bekalan dua gol ke Bernabeu dalam aksi separuh akhir kedua 2 Mei depan. – SINAR ONLINE