MELAKA – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang masih berteka-teki sama ada beliau akan kekal bertanding di Johor atau meninggalkan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tunggu masa akan umumkan,” katanya menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu selepas Ceramah Pakatan Harapan Melaka di Bukit Baru di sini, tengah malam tadi.
Lim, 77, sejak memenangi kerusi Parlimen pertamanya di Parlimen Bandar Melaka di sini pada PRU ke-3 tahun 1969, telah menjadi Anggota Parlimen di lima negeri.
Ditanya adakah beliau akan mempertahankan Parlimen Gelang Patah, Johor beliau menjawab: “Tidak akan bertanding kerana (Parlimen itu) sudah tidak ada”.
Dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, Parlimen Gelang Patah dipinda kepada Parlimen Iskandar Puteri.
Pada PRU13, Lim menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi di Parlimen Gelang Patah.
Sebelum menjadi Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim menjadi Anggota Parlimen Ipoh Timur, Perak untuk dua penggal dan terdahulu Anggota Parlimen Tanjong, Pulau Pinang selama tiga penggal.
Beliau juga pernah menjadi Anggota Parlimen Kota Melaka di sini selama dua penggal serta Anggota Parlimen Petaling, Selangor selama sepenggal.
Pada awal bulan lepas Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik dilaporkan sebagai berkata pengundi Parlimen Gelang Patah mempersoalkan ke mana perginya wakil rakyat mereka selama ini dan beliau turut mencabar Lim mempertahankan Parlimen itu pada PRU14. – BERNAMA