BENTONG – Rakyat diminta memberi mandat besar kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi membolehkan kerajaan meneruskan agenda kemajuan negara.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program berskala besar dengan banyak lagi yang masih pada peringkat perancangan dan pelaksanaan.
“Janji BN adalah bukan janji kosong… dalam tempoh lima tahun yang lalu kita telah melaksanakan banyak janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.
“Sebab itu penting untuk kita terus pastikan kerajaan yang ada terus diberi kepercayaan untuk mentadbir,” katanya selepas merasmikan Karnival Muafakat Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelangai di sini, hari ini.
Pada majlis itu Liow yang juga Menteri Pengangkutan merangkap Anggota Parlimen Bentong turut menyampaikan wang ihsan bencana banjir kepada 41 keluarga peringkat Parlimen Bentong.
Selain itu, Liow berharap rakyat tidak termakan dengan dakwaan pembangkang yang bertujuan memesongkan mereka bagi mendapatkan undi menjelang PRU nanti.
“Jangan dipesongkan ataupun termakan racun pihak pembangkang yang cuba hendak mengapi-apikan, dan memainkan emosi rakyat tentang usaha-usaha kerajaan.
“Kita juga akan memperbanyakkan lagi usaha memberi penerangan kepada rakyat mengenai apa yang dilakukan kerajaan supaya mereka mendapat maklumat yang tepat,” katanya. – BERNAMA