KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Raul Longhi melaungkan keyakinan pasukannya mampu mara ke saingan separuh akhir Zon ASEAN Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meskipun perlu menang dengan jaringan besar menentang Song Lam Nghe An di Stadium Larkin, esok.
Skuad Harimau Selatan perlu menjaringkan sekurang-kurangnya lima gol berdepan kelab dari Vietnam itu dalam aksi terakhir Kumpulan H jika mahu menghidupkan peluang pada kejohanan bola sepak peringkat kedua di Asia itu.
“Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil. Kita akan cuba menjaringkan banyak gol, mungkin lima. Kenapa tidak? Terdapat banyak kemungkinan dalam bola sepak. Tetapi yang penting kita mahu menang,” kata Longhi seperti dipetik dalam catatan terbaharu di laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers.
Pengendali kelahiran Argentina berusia 65 tahun itu berkata perlawanan menentang Song Lam Nghe An adalah menjadi keutamaannya setakat ini, kerana barisan pemainnya sudah membuat persediaan rapi bagi menghadapi aksi tersebut.
Justeru, Longhi menggesa anak buahnya supaya tidak mengambil mudah menentang lawan mereka itu kerana kelab Song Lam Nghe An merupakan pasukan hebat dengan struktur organisasi yang tersusun.
“Mereka mempunyai jentera serangan yang pantas, tetapi jika kita beraksi dengan corak permainan kita, maka saya merasakan peluang kita menang adalah cerah,” kata Longhi bahawa beliau akan merehatkan beberapa pemain utama untuk saingan Liga Super di tempat lawan berdepan Kelantan, Sabtu ini.
JDT kini menduduki tempat ketiga Kumpulan H dengan tujuh mata, kurang tiga mata di belakang dua pasukan teratas – Persija Jakarta dari Indonesia dan Song Lam Nghe An, yang masing-masing mengumpul 10 mata dengan berbaki satu perlawanan. – BERNAMA