UNIK… Mungkin disebabkan faktor geografi dan sumber manusia, lori sampah di Singapura kini dilengkapi mekanisme angkat barang dari arah tepi, terutama untuk sisa boleh dikitar semula.
Ia akan digunakan di estet perumahan awam milik Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) kawasan Ang Mo Kio-Toa Payoh dan Jurong diuji selama setahun dalam usaha pengurangan tenaga manusia bagi proses kutipan.
Barangan untuk dikitar semula di estet HDB dikumpul menggunakan lori pemuat dari belakang. Ia memerlukan hanya seorang pemandu dan dua lagi pekerja lain untuk menolak tong kitar semula berwarna biru ke arah lori itu.
Trak khas dengan pemuat di bahagian tepi itu sebenarnya cuma memerlukan seorang pekerja, iaitu pemandu kenderaan itu sendiri, menurut kenyataan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sempena pelancarannya hari ini.
“Penggunaan lori ini beri peluang kepada pekerja untuk pertingkat kemahiran mereka dalam industri perkhidmatan sekitaran dan produktiviti kutipan kitar semula dengan teknologi tinggi,” kata ketua eksekutif NEA, Ronnie Tay.
Percubaan bermula di kawasan Ang Mo Kio-Toa Payoh pada Jumaat dan Jurong pada 2 Mei. Barangan kitar semula dari 223 blok HDB akan terlibat iaitu 90 blok di Ang Mo Kio-Toa Payoh dan 133 blok di Jurong, menurut NEA.
Media tempatan turut melaporkan dengan pelancaran model lori baharu ini, tong kitar semula warna biru yang juga versi baharu dan boleh muat tiga kali ganda jumlah isipadu; berbanding sedia ada hanya 660 liter, mula digunakan.
Sistem pengumpulan dengan lori pemuat dari tepi sebenarnya sudah berjaya digunakan secara luas di negara-negara maju antaranya Itali, Sepanyol dan Australia untuk operasi di kawasan sempit serta jimat tenaga manusia.
Sistem baharu itu adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah perancangan transformasi industri perkhidmatan sekitaran republik tersebut yang dilancarkan pemerintah pada Disember tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA