KUCHING – Seorang lelaki sempat meninggalkan sekeping nota berbunyi “Maafkan saya, saya bukan anak yang baik” sebelum membunuh diri di Tokong Buddha Lim Fah Sah, Jalan Tabuan, di sini, petang semalam.
Lapor beberapa portal berita tempatan, lelaki berusia 38 tahun itu ditemui berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dalam kereta oleh seorang pekerja tokong berkenaan jam 5 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, lelaki terbabit menggunakan senjata tajam untuk menggelar pergelangan tangan kiri dan kanan selain terdapat koyakan pada dahi dan kaki kanan.
Berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) mangsa yang berbaju putih dilihat memandu masuk ke kawasan tokong pada jam 1.40 petang.
“Pekerja tokong yang kebetulan melalui di kawasan berkenaan kemudian meninjau kereta berkenaan sebelum menemui lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Sentral kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Hasil pemeriksaan menemui sekeping nota dalam Bahasa Cina yang meminta maaf kerana tidak menjadi seorang anak yang baik.
Difahamkan, lelaki berkenaan merupakan anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Kuching dan bekerja sebagai buruh.
Dalam pada itu, polis turut menemui sebilah pisau yang digunakan lelaki terbabit untuk mencederakan dirinya di dalam kereta berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS), untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MYNEWSHUB.CC