KUALA LUMPUR – Mengapa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berani bertegas dengan DAP supaya mematuhi konsensus yang dicapai oleh Pakatan Harapan pada 27 Februari 2018?
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, Pakatan Harapan pada 27 Februari lalu telah pun mencapai konsensus untuk menggunakan logo yang sama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
Menurut beliau, Pakatan Harapan sepatutnya dijadualkan mengumumkan perkara itu semalam, tetapi Mahathir pada sidang akhbar semalam memaklumkan perkara itu belum diputuskan.
Jelas beliau, ia disebabkan DAP berkeras mahu menggunakan logonya sendiri walaupun PPBM, PAN dan PKR telah bersetuju menggunakan logo yang sama iaitu PKR dalam PRU-14.
Malah, kata beliau, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan Mesyuarat DAP pada Isnin lalu tidak bersetuju dengan konsensus Pakatan Harapan menggunakan logo yang sama.
“Begitulah hebatnya DAP berorganisasi walaupun konsensus dicapai pada 27 Februari lalu semua empat parti dalam Pakatan Harapan akan menggunakan logo sama, DAP masih mampu mencari ruang untuk tidak mematuhinya.
“Dan begitulah lemahnya Tun Dr Mahathir walaupun konsensus telah dicapai pada 27 Februari lalu semua empat parti dalam Pakatan Harapan akan menggunakan logo sama, DAP diberi ruang untuk tidak mematuhinya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Kamarul seterusnya mengemukakan beberapa fakta yang menunjukkan DAP adalah punca masalah kepada semua gabungan parti pembangkang yang pernah dibentuk di negara ini.
Kata beliau, perpecahan Barisan Alternatif berpunca daripada tindakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menarik diri pada 22 September 2001 selepas gagal memaksa PAS menggugurkan agenda negara Islam.
Tambah beliau, Pakatan Rakyat pula berkubur beberapa tahun lalu disebabkan ketegasan DAP menolak perlaksanaan syariat Islam yang diketengahkan PAS.
“Mana-mana pakatan politik disertai DAP akan sentiasa dipenuhi masalah dan tidak akan dapat bertahan lama melainkan semua ahlinya akur dengan kehendak DAP,” katanya.
Justeru, katanya, jelas kepentingan DAP yang paling utama dan berbohong jika sesiapa mahu meyakinkan usaha pemartabatan Islam tetap boleh dilakukan menerusi Pakatan Harapan.
“Bagi DAP, sekular dan Malaysian Malaysia yang paling utama dan apa atau sesiapa sahaja yang boleh menggugat kedua-dua perkara ini sudah tentulah akan ditentang habis-habisan hingga ke peringkat sanggup memecahkan pakatan politik,” kata beliau. – Mynewshub.cc