SIBU- Seorang pengusaha kantin sekolah berusia 43 tahun telah ditahan atas tuduhan merogol pekerjanya yang berbangsa Indonesia setiap hari sejak November 2016.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komissioner Polis (ACP) Stanley Jonathan Ringgit berkata pada Isnin (2 April) bahawa lelaki tersebut telah ditahan di kediamannya pada Ahad (1 April) susulan laporan polis yang dibuat oleh wanita berusia 20 tahun itu.
Tambah ACP Jonathan, warga Indonesia itu telah menetap dengan suspek yang juga majikannya bersama-sama beberapa pekerja lain sejak mula bekerja dengan lelaki itu pada Oktober 2016.
Mangsa telah dirogol setiap kali isteri dan anak-anak mereka tiada di rumah dan pada kejadian terbaharu, suspek telah memanggil mangsa masuk ke dalam biliknya dan kemudian menampar pipi mangsa apabila dia enggan mengadakan hubungan seks.
“Wanita itu akhirnya terpaksa mengalah kerana takut diserang oleh majikannya,” tambah Jonathan lagi, dan mengatakan bahawa suspek akan memberikan mangsa pil pencegah kehamilan setiap kali selepas merogol.
Suspek telah dibawa ke mahkamah majistret di sini, hari ini, di mana dia akan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.-MYNEWSHUB.CC