GOLD COAST – Penerjun wanita negara gagal meraih pingat dalam acara 1 meter papan anjal di Sukan Komanwel 2018 di sini hari ini.
Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Optus, tiga penerjun negara – Nur Dhabitah Sabri, Jasmine Lai dan Kimberly Bong, masing-masing sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam, lapan dan sembilan.
Nur Dhabitah mengumpul 235.80 mata selepas menamatkan lima terjunan dalam acara itu untuk tempat keenam.
“Saya gembira dengan prestasi saya pagi tadi, berbanding dalam aksi final tadi. Ini kali pertama saya melakukan teknik baharu terjunan dan masih mencari rentak.
“Saya kena lebih banyak berlatih (teknik baharu) selepas ini, terutama untuk Sukan Asia di Jakarta,” katanya.
Nur Dhabitah akan turun beraksi untuk memburu pingat dalam acara 3m papan anjal individu esok.
Dalam pada itu, Jasmine yang menamatkan saingan di tempat kelapan mengumpul 223.20 mata manakala Kimberly di tempat kesembilan dengan 220.25 mata.
Penerjun Australia mendominasi acara berkenaan apabila meraih pingat emas dan perak, masing-masing menerusi Georgia Sheehan dan Esther Qin yang mengumpul 265.00 dan 252.95 mata. – BERNAMA