KOTA BHARU – Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bersifat holistik dan inklusif yang memberi pembelaan kepada seluruh rakyat selain mempercepatkan pembangunan di sesebuah negeri, kata Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempercepatkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang ketika melancarkan manifesto tersebut malam tadi, membuktikan BN terus memberi tumpuan kepada Kelantan terutama dalam pembangunan infrastruktur untuk kemudahan rakyat.
“Pembinaan lebuh raya ini melibatkan beberapa fasa pembinaan dan kalau ikut perancangan awal mungkin lebuh raya ini akan siap sepenuhnya pada tahun 2025 tetapi dengan janji Perdana Menteri itu kita berharap ia akan siap lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bahtera 2018 Edisi Khas Kelantan di sini, hari ini.
Mustapa mengulas manifesto BN bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan oleh Najib yang juga Pengerusi BN di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau turut berharap pembinaan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 3 tidak hanya setakat sempadan Kelantan dan Terengganu malah ia dipanjangkan ke seluruh Kelantan.
Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kelantan akan diberi pendedahan lebih meluas mengenai pemasaran produk dan perniagaan baharu dalam talian.
Beliau berkata melalui program Bahtera 2018 yang bertemakan ‘Bumipreneurs of Tomorrow’ usahawan tempatan yang sudah bersedia untuk mengembangkan perniagaan mereka di peringkat nasional dan global akan terus dibantu oleh agensi kerajaan yang berkaitan.
“Usahawan bumiputera akan berpeluang merangka strategi pemasaran yang lebih berkesan dan responsif kepada keperluan semasa pasaran yang dinamik secara dalam talian mahu pun di luar talian,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah. – BERNAMA