KUALA TERENGGANU – Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja untuk kepentingan rakyat tetapi juga menekankan pembangunan modal insan dan ekonomi negara, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Katanya, pengumuman pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Tepoh, Kuala Nerus ke Kelantan juga memberi banyak kelebihan kepada rakyat Terengganu.
“Sekiranya diberi mandat sekali lagi kepada kerajaan BN untuk memerintah, sudah pastinya pengumuman pembinaan lebuh raya ini akan merancakkan lagi ekonomi tempatan tersebut di samping menjimatkan masa perjalanan.
“Ini merupakan berita gembira buat rakyat Terengganu khususnya penduduk di Kuala Nerus, Setiu dan Besut. Rakyat perlu yakin dan percaya bahawa Kerajaan BN merupakan kerajaan yang diasaskan untuk memberikan kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat, bukannya berasaskan dendam dan benci yang akhirnya akan memakan diri sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas manifesto BN bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Kuala Lumpur malam tadi.
Ahmad Razif turut menyifatkan manifesto itu adalah bukti BN yang tidak sesekali mengabaikan nasib rakyat dari setiap golongan, bermula dari Perlis sehinggalah ke Sabah yang menekankan setiap inci perihal kebajikan rakyat serta pembangunan negara.
“Kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang menepati janji dan tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat.
“Jadi rakyat tidak perlu berasa takut dan ragu-ragu dengan kerajaan Barisan Nasional kerana kita janji, kita umum, kita buat dan kita laksanakan,” katanya. – BERNAMA