GURUN – Manifesto pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang menjanjikan pembinaan Pusat Latihan Imam Kebangsaan di daerah Yan dengan kos RM120 juta adalah satu penghormatan kepada imam di seluruh negara.
Penyandang kerusi Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata golongan imam seramai 14,000 orang itu juga perlu melengkapkan diri masing-masing dengan pendedahan semasa serta latihan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan pengetahuan mereka.
Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata manifesto itu bukan satu penawaran biasa serta retorik, sebaliknya realistik dan diyakini dapat ditunaikan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Apatah lagi rekod prestasi BN yang cemerlang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila hampir seratus peratus iaitu 99.4 peratus aku janji PRU13 berjaya direalisasikan gagasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah kepada pemilik rumah Taman Permai Utama Fasa 2 anjuran Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya SPNB Aspirasi Sdn Bhd (ASPIRASI) dekat sini hari ini.
Antara turut hadir ialah Pengerusi SPNB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri Gurun Datuk Boey Chin Gan.
Semalam Pengerusi BN Kedah merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melancarkan manifesto BN negeri ini untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ dengan mengandungi tujuh kluster khusus bernilai RM65.3 bilion untuk rakyat Kedah.
Antara kluster itu turut merangkumi agama serta modal insan dengan antaranya tawaran untuk membina pusat latihan imam berkenaan sekiranya BN terus diberikan mandat menerajui negeri ini pada pilihan raya umum itu. – BERNAMA