KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menggariskan 364 inisiatif adalah satu dokumen komprehensif dengan agenda sangat jelas yang mampu dilaksanakan, memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan manifesto setebal 220 muka surat itu menjanjikan program-program menghebatkan Malaysia yang akan membawa negara bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang mengalami lonjakan tinggi.
“Jika kita imbas sejak pilihan raya umum pada 1955 kita telah membentangkan dan mensajikan manifesto demi manifesto, sehinggalah kini masuk 14 kali.
“Bagi parti BN, kita tidak anggap ini sebagai suatu yang kita pandang mudah, sebagai satu dokumen yang kita rakamkan secara bertulis semata-mata tapi kita anggap ini sebagai akujanji kita pada rakyat, suatu dokumen yang kita pandang sangat berat dan inilah ikrar janji dan sumpah kita bahawa segalanya dalam Manifesto BN. kita akan laksanakan sepenuhnya,” katanya ketika berucap melancarkan Manifesto BN di hadapan lautan biru penyokong parti BN di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berkapasiti 12,000 orang malam ini.
Selain ribuan penyokong BN lain yang berada di luar stadium, ucapan pelancaran manifesto selama lebih sejam itu turut disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan dan laman Facebook rasmi Najib.
Manifesto PRU14 bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” menawarkan 14 teras iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.
Perdana Menteri berkata manifesto itu menawarkan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, darjat dan warna kulit untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik sehingga ke anak cucu. – BERNAMA