KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah cerminan perancangan pembangunan Malaysia yang idealistik dan realistik.
Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini berkata manifesto itu bukan populis yang hanya merangkumi sebahagian kelompok semata-mata, tapi fleksibel dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Alhamdulillah, manifesto BN memfokuskan inisiatif yang diperlukan ibu tunggal dalam memastikan kehidupan dan keluarga mereka terjamin melalui insentif serta latihan keusahawanan yang bakal diberikan.
“Malah bagi wanita yang ingin kembali ke sektor pekerjaan setelah berehat dan menumpukan kepada keluarga juga diberikan keistimewaan yang sangat banyak melalui insentif cukai 24 bulan,” katanya sambil menzahirkan terima kasih kepada Presiden UMNO yang mengangkat usul yang dibentangkan pergerakannya pada perhimpunan agung UMNO lepas.
Selain itu usul lain yang dibawa Pergerakan Puteri UMNO mengenai menubuhkan jawatankuasa induk bagi membincangkan penyelarasan berkaitan perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia juga terdapat dalam manifesto BN kali ini.
Mengenai peningkatan penyaluran dana dan platform kepada penggiat industri kreatif sebagai sumber pendapatan baharu negara, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata perkara itu bakal disambut baik oleh penggiat industri tanah air.
Dalam pada itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah yakin penduduk kawasan itu teruja dengan Aku Janji melibatkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kuala Linggi ke Masjid Tanah melalui Klebang hingga ke Teluk Mas.
“Saya yakin, penduduk kawasan Masjid Tanah amat teruja menantikan pembinaan jalan baharu ini dan bakal mejadikan perjalanan lebih lancar di kawasan Masjid Tanah,” katanya. – BERNAMA