TUN Dr. Mahathir Mohamad sewaktu berceramah di Pasir Gudang, Johor malam tadi menyebut akan tangkap pihak yang sebar berita palsu selepas pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Walhal, Mahathir dalam sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 3 April lalu dengan tegas menyebut pembangkang akan memansuhkan Akta Antiberita Palsu apabila berjaya menawan Kerajaan Persekutuan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, itu menunjukkan Mahathir sekali lagi terlupa apa yang beliau sendiri pernah katakan tiga hari lalu.
“Mana satu yang betul. Nak mansuhkan atau nak kekalkan Akta Antiberita Palsu?” soal beliau dalam nada sinis menerusi satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan Mahathir untuk menghapuskan Akta Antiberita Palsu selaras dengan pendirian Penasihat DAP. Lim Kit Siang yang meletakkan akta itu dalam senarai ke-11 yang akan dimansuhkan oleh Pakatan Harapan.
Kamarul Zaman dalam pada itu melahirkan kebimbangan Mahathir seolah-olah cuba mewujudkan suasana tegang dalam PRU kali ini apabila membayangkan kekhuatirannya pemimpin pembangkang.
Mereka mendakwa konon berkemungkinan dibunuh dan mencabar pihak berkuasa menahan beliau serta beribu-ribu penyokong pembangkang. – MYNEWSHUB.CC