MENJADI sebahagian daripada anak seni pasti mendorong golongan itu untuk mencuba cabang baharu bagi menguatkan lagi nama mereka di dalam dunia hiburan supaya lebih dikenali ramai.
Namun bagi pelakon kelahiran Kota Singa, iaitu Hisyam Hamid, cintanya pada dunia lakonan lebih tinggi berbanding minatnya dalam bidang pengacaraan.
“Saya ada menerima beberapa tawaran dalam bidang pengacaraan, namun terpaksa tolak dengan cara yang baik. Saya sedar, kelebihan saya adalah dalam bidang lakonan dan masih begitu hijau sebagai hos,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Baru-baru ini, pelakon bertubuh sasa itu telah muncul sebagai pengacara bagi program pencarian pereka fesyen, Gen F dan daripada situ banyak pihak telah nampak kemampuannya dalam mengendalikan sesebuah rancangan.
Bagaimanapun, keutamannya pada masa kini hanya tertumpu kepada dunia lakonan berbanding perkara lain.
“Alhamdulillah, setelah selesai program Gen F, nampaknya pintu rezeki dalam bidang pengacaraan lebih luas. Cuma, belum ada rezeki untuk saya menerimanya lagi,” tambahya.
Sebelum menceburi bidang seni, Hisyam terlebih dahulu merupakan seorang anggota bomba yang berpengalaman selama lapan tahun ketika dia berada di negara kelahirannya, Singapura.
Bersempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Hisyam telah memberanikan diri dengan menampilkan koleksi baju Melayu dan kurta di bawah jenamanya sendiri.
“Perasaan bercampur baur kerana inilah kali pertama saya melancarkan baju di bawah label sendiri. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan dan sambutan orang ramai terhadap pertaruhan sulung ini.
“Saya sendiri sebenarnya banyak mengenali dunia fesyen sejak mengacarakan program Gen F,“ ujarnya lagi.
Baginya, koleksi kali ini telah mencerminkan identiti dirinya sendiri kerana pelakon drama Abang Bomba I Love You itu turut sering menggayakan baju Melayu jika ke mana-mana kerana ia nampak ringkas serta selesa.
“Saya lebih selesa tampil dengan baju Teluk Belanga ketika musim perayaan. Ramai juga yang tanya mengenai baju yang dipakai, jadi lebih mudah apabila saya tampil dengan jenama sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hisyam kini sibuk menjalani penggambaran bagi projek mega drama di bawah arahan Micheal Ang berjudul Rahsia Hati Perempuan bersama pelakon Mira Filzah, Uqasha Senrose, Fikry Ibrahim dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/ AH