TOKYO – Seorang menteri di Jepun meminta maaf kerana menggunakan kereta rasmi untuk melawat studio yoga, tetapi menafikan dakwaan kemudahan itu menawarkan ‘yoga peribadi seksi’.
Perbalahan terbaharu itu menggegarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe, yang sudah pun berdepan kecaman selepas dua skandal kronisme dan dakwaan gangguan seksual ke atas birokrat Kementerian Kewangan.
Majalah Shukan Bunshun, hari ini melaporkan Menteri Pendidikan, Yoshimasa Hayashi, melawat studio yoga di daerah Ebisu di sini dengan menggunakan sebuah kereta rasmi kerajaan dan mengambil kelas peribadi di situ.
“Saya meminta maaf kerana mencetuskan kekeliruan di tengah-tengah keadaan tegang di Parlimen.
“Ketika kerajaan berhadapan kritikan teruk, saya akan berkhidmat kepada awam dengan cara lebih berdisiplin,” katanya, merujuk kepada pelbagai skandal membabitkan Kabinet beberapa minggu ini.
Kata Hayashi, beliau sepatutnya meletakkan sempadan antara umum dan persendirian, walaupun dalam kes ini ia sebenarnya memang tidak menyalahi peraturan.
Untuk rekod menteri di Jepun malahan dibenarkan menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan peribadi yang dilakukan dalam masa urusan awam.
Majalah itu menggambarkan studio berkenaan sebagai ‘yoga peribadi seksi’ dikendalikan bekas aktres lucah yang menawarkan kelas persendirian dan urutan minyak.
Namun Hayashi berkata, beliau cuma mengikuti sesi kelas yoga biasa dan berurut dengan tekanan jari untuk kesihatan lebih baik. – AFP
*Video sekadar hiasan…