KUALA LUMPUR – Minggu Sains Negara yang berlangsung di seluruh negara selama seminggu dijangka dapat menyemarak dan membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di pelbagai peringkat serta merapatkan jurang antara sains dan masyarakat.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata program yang bermula semalam bertemakan ‘Negaraku Berinovasi’ itu diharap boleh menarik minat pelajar untuk memilih bidang dan jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai kerjaya.
“Penganjuran Minggu Sains Negara secara tahunan ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan kepentingan STI kepada semua lapisan rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya STI dalam menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju,” katanya
Program itu sejajar dengan Hari Sains Sedunia yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai acara tahunan sejak 2002, katanya.
Sepanjang program yang berakhir Sabtu ini, pelbagai aktiviti menarik dan interaktif akan diadakan di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara Kuala Lumpur, yang merupakan lokasi utama Minggu Sains Negara 2018 termasuk ‘ Science Show Marathon’, ‘Science Chef in Action’ dan ‘Fun with Magnet’.
“Di samping itu, Robobug yang dihasilkan oleh para pelajar sekolah dalam bengkel asas robotik yang diadakan bermula dari 19 Mac, akan dikumpulkan pada ‘Majlis Pelancaran Robot Serangga Mini Yang Terbanyak’pada 5 April di Pusat Sains Negara,” katanya.
Pelancaran Robobug itu akan dinilai untuk dicatat dalam Malaysian Book of Records di bawah kategori Sains dan Teknologi, katanya. – BERNAMA