SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya selama tiga penggal sejak 2004 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Penasihat Politik kepada Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor masing-masing kekal mempertahankan kerusi Parlimen Rembau dan Parlimen Tampin.
Kerusi Parlimen Rembau disandang Khairy selama dua penggal sejak 2008 manakala Shaziman di Parlimen Tampin selama empat penggal sejak 1999.
Mohamad mengumumkan bahawa Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek juga dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah yang disandangnya selama tiga penggal sejak 2004.
BN turut mencalonkan muka baharu iaitu personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail, 41, atau lebih popular sebagai Syamsul Debat untuk bertanding di kerusi DUN Sikamat, katanya pada majlis penyerahan watikah kepada calon-calon BN di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini. – BERNAMA