BIDAS… Umum tahu selama ini DAP cukup anti dengan segala agenda hak kepentingan Melayu di negara ini termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang ditubuhkan pihak kerajaan pada 1966 lalu.
Walhal agensi itu berperanan besar dalam usaha bantu golongan Bumiputera terutama dalam bidang keusahawanan dan pendidikan menerusi pelbagai peluang platform seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Mara.
Malah DAP pernah dikecam teruk ramai pemimpin UMNO kerana berhasrat menghapuskan Mara yang didakwa konon bersifat diskriminasi hanya untuk Melayu bersaing merapatkan jurang kemajuan dengan kaum-kaum lain.
Justeru apabila DAP melalui kenyataan Biro Buruh parti itu semalam mengutuk keras Himpunan Saya Anak Mara, ternyata ia menyerlahkan ‘warna’ sebenar mereka amat jijik dengan institusi keramat Melayu gah lebih 50 tahun.
Ekoran itu, Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) yang anjur program tersebut secara besar-besaran dengan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini tampil menyelar tohmahan DAP.
Presidennya, Datuk Rizal mansor bahkan beri amaran agar DAP tidak cuba campuri urusan warga Mara berkumpul dengan pemimpin negara kerana ia sebagai mana Felda, jelas adalah institusi untuk orang Melayu dan Bumiputera.
“Mungkin DAP ini dah mula tunjuk pandai nak mencampuri urusan Mara setelah duduk bawah payung atuk (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad) dan sudah berani serta tanpa segan silu menyibuk dengan hal-ehwal orang Melayu.
“DAP memang tidak faham sebab staf Mara dan warga pelajarnya dijemput hadir kerana mahu mempromosi dasar kerajaan dan Mara yang telah banyak melahirkan individu berjaya dalam pelbagai bidang,” tegas Rizal lagi.
Biro Buruh DAP semalam dilaporkan portal propembangkang menyelar langkah itu dianggap konon menyimpang daripada matlamat dan fungsi sebenar Mara yang sepatutnya menumpukan kepada usaha pembangunan Melayu.
Malah, kata naib pengerusi biro itu mendakwa, Mara tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana pemimpin terutamanya parti politik kononnya BN begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya umum pada kali ini.
Berlangsung di hangar Kampus Subang Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT) bermula 3 hingga 6 petang, himpunan itu dijangka dihadiri kira-kira 5,000 peserta.
Ia terbuka kepada semua pelajar dan bekas pelajar tajaan Mara termasuk warga Muafakat, ahli Persatuan Bekas Pelajar MRSM atau Ansara, pendidik serta warga kerja Mara di samping ibu bapa pelajar tajaan agensi tersebut.
Muafakat merupakan badan yang dianggotai ibu bapa, pensyarah dan guru MRSM, Kolej Mara dan Kolej Profesional Mara. Setakat ini, terdapat 61 cawangan Muafakat di seluruh negara dengan keanggotaan lebih 50,000 orang.
Baca: Jom Serbu Himpunan Anak Mara Pada Ahad Ini
Berikut ialah kenyataan penuh Rizal:
Selaku Presiden Muafakat, saya merasa terpanggil untuk mengulas dakwaan DAP mengenai acara ‘Himpunan Saya Anak Mara’ yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Subang, Selangor pada Ahad ini.
Saya ingin memberi amaran agar DAP tidak mencampuri urusan warga Mara kerana Mara adalah institusi untuk orang Melayu dan Bumiputera.
Amaran ini saya keluarkan kerana DAP sebagai parti cauvinis yang memperjuangkan kaum Cina semata-mata dan jika DAP terus berbuat begini, ia akan membangkitkan kemarahan orang Melayu yang akan bangkit mempertahankan Mara.
Mungkin DAP ini dah mula tunjuk pandai nak mencampuri urusan Mara setelah duduk di bawah payung atok Dr. Mahathir dan mereka sudah berani serta tanpa segan silu menyibuk dengan hal-ehwal orang Melayu.
DAP memang tak faham sebab kakitangan Mara dan warga pelajarnya dijemput hadir kerana mahu mempromosi dasar-dasar kerajaan dan Mara yang telah banyak melahirkan individu berjaya dalam pelbagai bidang.
Di samping itu, himpunan tersebut juga akan dapat menyatukan anak-anak Mara supaya dapat berperanan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050.
Pada himpunan tersebut juga, semua warga MARA akan mendapat peluang secara dekat untuk menyatakan sokongan dan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana telah banyak berjasa kepada anak-anak Mara.
Untuk generasi masa depan, himpunan tersebut mampu untuk menunjukkan perubahan yang telah dibawa oleh Mara sejak dari awal penubuhannya hingga ke hari ini.
Justeru, saya berpendapat cubaan Biro Buruh DAP untuk memberi persepsi negatif terhadap acara tersebut adalah berniat jahat dan mencerminkan sikap sebenar pembangkang yang hanya tahu mengadu-domba dan menghasut.
Saya berharap agar mereka di dalam biro tersebut akan cuba berfikiran positif dan menghargai jasa serta cuba berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak membangunkan negara ini.
Janganlah asyik mencari kesalahan kerajaan sedangkan keberadaan DAP dalam pakatan pembangkang terus kucar-kacir dan tidak boleh diharapkan untuk menjadi kerajaan yang lebih baik. – Mynewshub.cc/HAA