PEKERJA pembinaan di sebuah bangunan beli belah Dayton, di Minneapolis, Amerika Syarikat menemui mumia seekor monyet ketika mereka melakukan kerja pengubahsuaian di situ.
Ada teori yang menyatakan spesies primat berkenaan konon pernah terlepas dari sebuah kedai binatang peliharaan di pusat beli belah tersebut, kira-kira 50 tahun lepas.
Ia ditemui di saluran udara di tingkat tujuh bangunan lama itu.
Gambar mumia tersebut dimuatnaik dalam laman Facebook Old Minneapolis untuk mencari jawapan mengenai penemuan terbabit.
“Adakah sesiapa tahu bagaimana monyet ini berakhir di atas lorong udara di pusat beli belah ini dan kekal di situ tanpa diusik?” tulis kapsyen pada gambar yang dimuat naik tersebut.
Ramai yang memberikan teori namun ia sekadar kepada spekulasi, termasuk John Burke.
“Ketika saya muda, kami selalu ke pusat beli belah Dayton untuk melihat sarkas di tingkat bawah bangunan itu. Terdapat banyak binatang termasuk gajah serta monyet,” demikian tulis Burke dalam komen di Facebook Old Minneapolis.
Namun hingga kini tiada jawapan kepada persoalan yang dilemparkan oleh Old Minneapolis. – MYNEWSHUB.CC