KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 di Singapura pada 27-28 April ini.
Musa akan diiringi isteri, Toh Puan Zulaikha Sheardin, ketua setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim serta para pegawai kanan Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Sidang kemuncak itu akan menjadi platform bagi para pemimpin ASEAN untuk menangani cabaran memuncul seperti keganasan dan keganasan pelampau.
Dalam kenyataan di sini hari ini, Wisma Putra berkata sidang kemuncak itu juga akan memberi peluang kepada para pemimpin ASEAN untuk menilai kemajuan yang dicapai dalam usaha yang sedang dilakukan bagi memperkasakan Komuniti ASEAN.
“Sidang kemuncak yang akan diadakan ini merupakan mesyuarat pertama para pemimpin ASEAN dalam tempoh kepengerusian Singapura pada 2018,” katanya.
Tema sidang kemuncak ini, yang dipilih Singapura, “Resilient and Innovative” (Daya Tahan dan Inovatif), bukan sahaja akan membicarakan tentang perpaduan ASEAN, tetapi juga mencerminkan penekanan serta komitmen Singapura dalam mengetengahkan skim yang memanfaatkan inovasi.
“Para pemimpin juga akan mengambil peluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang arah tuju masa depan inisiatif diterajui ASEAN dan isu kontemporari yang mempunyai kaitan dengan kepentingan rantau ini serta masyarakat antarabangsa secara lebih meluas,” katanya.
Usaha itu, yang berlandaskan dokumen “ASEAN 2025: Bersama Maju Ke Hadapan”, yang menggariskan matlamat utama bagi tiga tonggak ASEAN, akan didahului dengan beberapa mesyuarat di pelbagai peringkat.
Mesyuarat berkenaan ialah Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ASEAN (CPR) pada 25 April, diikuti Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ASEAN pada 26 April, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN dan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN pada 27 April. – BERNAMA