KINABATANGAN – Kepimpinan dan keperihatinan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menjadi faktor penting kepada pembangunan negeri ini dan membela nasib rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pembangunan negeri ini berada di landasan yang tepat kerana adanya pemimpin negeri ini dan persekutuan yang bekerja tiada musim.
Katanya Musa dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abul Razak komited membangunkan negeri ni untuk kesejahteraan penduduk.
“Malah dalam Manifesto BN Sabah menumpukan komitmen berterusan membangunkan masyarakat dan negeri ini secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Rumah Bina Negara yang disempurnakan oleh Musa di Kampung Suan Lamba dekat sini, hari ini.
Justeru, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan meminta rakyat negeri ini terus memberikan sokongan kepada BN bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri ini.
Menurutnya rakyat jangan terpengaruh dengan parti pembangkang yang memperjuangkan untuk mengubah negeri ini jika mentadbir. “Kita (BN) merancang untuk kebaikan rakyat kita buat. Bukan macam parti pembangkang menjual janji kosong untuk meraih sokongan.
“Jangan terpengaruh dengan parti pembangkang kerana BN berada di landasan tepat membangunkan Sabah,” kata Bung Moktar. – BERNAMA