Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles
TAWARAN untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke Vietnam selama sebulan pada Ogos 1970 ibarat `pucuk dicita, ulam mendatang’ bagi Leftenan Muslim Yusof.
Lebih menggembirakannya ialah tawaran itu hadir ketika baru lima bulan beliau kembali dari Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS) kerana mengikuti kursus payung terjun dan pandu arah udara (Pandura) di pusat latihan pasukan elit negara kuasa besar itu.
Meskipun, Vietnam sedang dilanda peperangan, namun ia bukanlah halangan baginya untuk menjejakkan kaki ke negara itu.
Seperti dijadualkan, pada awal bulan itu, Muslim bersama empat lagi pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berangkat ke negara itu dengan diketuai oleh Kolonel Lai Chung Hwa.
“Tujuan kami dihantar ialah untuk belajar tentang pelbagai taktik dan modul latihan yang digunakan oleh tentera Vietnam dan tentera asing yang berada di sana dalam memerangi Vietcong.
“Ia sebagai langkah persedian untuk menubuhkan Sekolah Angkatan Lima Negara yang dirancang ditubuhkan di Ulu Tiram, Johor,’’ katanya sambil memberitahu semasa mereka tiba di Vietnam, peperangan yang berlaku semakin mencapai kemuncaknya.
Ekoran tanggungjawab yang diberikan kepada mereka berlima adalah besar, maka banyak penempatan dan pusat latihan tentera yang perlu dilawati sama ada milik tentera Vietnam atau pun AS.
Satu hari, Muslim diberitahu bahawa mereka akan dibawa melawat Sekolah Peperangan Khas Vietnam di Wilayah Phuctui, yang merupakan pusat latihan untuk anggota komando negara itu.
Bagi tujuan itu, mereka telah diminta menaiki sebuah kapal terbang Tentera Udara Vietnam dari Saigon ke wilayah selatan tersebut.
Dari situ, mereka kemudiannya menaiki salah sebuah daripada empat buah helikopter tentera untuk dihantar ke sekolah terbabit.
“Sebelum bertolak, kami diberitahu agar bersedia menghadapi segala kemungkinan kerana sekolah tersebut berada di tengah-tengah medan pertempuran,’’ ujar Muslim.
Sedar akan risiko dan bahaya yang menanti, beliau berdoa agar perjalanan mereka terselamat dari segala mara bahaya.
Bagaimanapun, baru kira-kira setengah jam helikopter berlepas iaitu pada pukul 9 pagi, tanpa diduga ketika melalui satu kawasan hutan, konvoi helikopter yang mereka naiki dikejutkan dengan bunyi tembakan.
“Dari bunyi itu, saya tahu kami telah diserang. Nasib baik gerila Vietcong tidak menggunakan senjata berat, hanya raifel. Jika tidak tentu ada helikopter yang terhempas,’’ terang beliau yang lega kerana serangan itu hanya berlaku sekejap sahaja.
Taktik Musuh
Selepas mengelak dari melalui beberapa kawasan yang disyaki terdapat musuh, mereka akhirnya tiba ke sekolah tersebut dengan selamat.
“Di sana saya cukup kagum dengan apa yang kami lihat. Latihan di situ memang lasak. Mereka juga hanya menggunakan peluru hidup.
“Mereka sangat serius dengan setiap bentuk latihan yang dilakukan,’’ katanya.
Menurut Muslim, antara latihan yang disaksinya ialah bagaimana anggota tentera Vietnam diwajibkan merangkak di bawah kawat sambil menggigit benet.
Pada masa yang sama, tembakan peluru hidup dihalakan ke atas kepala mereka dari arah rusuk. Keadaan itu, sekali gus menuntut mereka bergerak pantas tetapi berhati-hati.
Di situ juga, beliau menyaksikan berbagai jenis jerangkap samar dan ranjau yang dibuat oleh Vietcong di samping mempelajari pelbagai taktik yang digunakan oleh kedua-dua belah pihak.
Satu lagi latihan penyesuaian perang yang dilakukan ialah merempuh halangan yang diselang-seli dengan letupan bom tangan dan bom asap.
“Situasinya seperti di medan perang. Latihan tersebut menjadikan setiap anggota tentera mereka tidak lagi takut pada peluru dan bunyi dentuman bom ketika bertempur,’’ ujarnya.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan Muslim ialah mereka yang tamat menjalani latihan akan diminta melakukan operasi terus dari situ.
“Tentera Vietnam terbabit akan diminta melakukan rondaan dari sekolah itu menuju ke tempat musuh.
“Apa yang saya tahu ada yang kembali selepas keluar dan ramai juga yang mati atau hilang,’’ terang beliau.
Selesai lawatan selama setengah hari di situ, Muslim dan rakan-rakannya diberitahu bahawa mereka akan kembali ke pangkalan tentera udara dengan menaiki kenderaan darat.
Langkah itu diambil, bagi mengelakkan helikopter mereka diserang untuk kali kedua dalam perjalanan pulang.
“Kami balik dengan menaiki kenderaan Land Rover sambil diiringi oleh satu kompeni tentera Vietnam dan beberapa buah helikopter,’’ kata beliau.
Dalam perjalanan, ketabahan mereka terus teruji apabila tanpa disangka sekali lagi diserang hendap gerila Vietcong.
Kali ini serangan yang dilakukan lebih hebat dengan kekuatan musuh dipercayai satu batalion.
“Masa itu kami bukan sahaja diserang dengan senjata ringan tetapi juga senjata berat,’’ katanya sambil memberitahu serangan itu telah menyebabkan mereka terperangkap.
Walaupun begitu, mereka bernasib baik kerana tentera Vietnam cepat bertindak balas.
Selepas beberapa minit bertempur, konvoi mereka dapat melepasi kepungan itu dan terus menuju ke pangkalan tentera udara Wilayah Phuctui tanpa ada sesiapa yang cedera.
Dari bunyi itu, saya tahu kami telah diserang. Nasib baik gerila Vietcong tidak menggunakan senjata berat, hanya raifel. Jika tidak tentu ada helikopter yang terhempas.
Kampung Musuh
Di sebalik pengalaman ngeri tersebut, Muslim tetap bersyukur kerana nyawa mereka masih panjang. Selain itu banyak ilmu yang diperolehinya hasil daripada pengalaman dan lawatan itu.
“Ramai yang tidak tahu bahawa idea Kampung Musuh yang terdapat di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) adalah lahir daripada apa yang kami lihat di Sekolah Peperangan Khas di Vietnam.
“Tetapi kita ubah suai sedikit keadaannya supaya bersesuai dengan cara kita memerangi pengganas komunis,’’ kata Muslim yang sebahagian besar daripada usia perkhidmatannya tertumpu sebagai jurulatih kombat.
Hasil daripada kewujudan kampung itu, telah memberi kesan besar kepada ATM ketika melaksanakan operasi menentang insurgensi.
“Kita tidak lagi meredah begitu sahaja ke kem musuh. Kita juga telah mahir dengan jerangkap samar dan ranjau musuh kerana Parti Komunis Malaya (PKM ) banyak belajar dari Vietcong,’’ katanya.
Berbekalkan pengalaman di Vietnam dan mengikuti kursus di beberapa negara lain, bekas pegawai kadet Sekolah Pegawai Kadet Port Sea, Australia ini pernah mengecapi banyak kejayaan ketika melakukan operasi memerangi pengganas komunis di tanah air.
Antaranya, Platun Tiger Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpinnya pernah menangkap dua orang pengganas komunis yang terbabit meletupkan jambatan Kokmak di Perlis pada tahun 1972.
Hasil daripada kejayaan itu Muslim telah dianugerahkan pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Selain itu, ketika menjadi ketua kompeni, pasukannya telah berjaya membunuh enam orang pengganas komunis dalam Operasi Indera IV di Pahang.
“Paling manis ialah kejayaan kompeni saya menawan Kem Abdullah CD iaitu kem terbesar PKM ketika Op Daoyai Musnah II.
“Walaupun musuh sempat melarikan diri, kejayaan itu bukanlah diraih dengan mudah kerana ia dijumpai selepas dua bulan kami melaksanakan operasi di samping mengakibatkan dua anggota saya putus kaki terkena jerangkap samar,’’ kata Brigedier Jeneral Datuk Muslim Yusof, 55, yang kini merupakan Ketua Staf Am, Markas Medan Tentera Darat. – MYNEWSHUB.CC
*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.