Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles
KETUA Staf Am Markas Medan Tentera Darat ini masih ingat segala pengalaman getir yang terpaksa dilaluinya sepanjang menjadi Pemerintah Wilayah Utara dalam Misi Pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Liberia (UNOMIL) lapan tahun lalu.
Masakan mungkin beliau dapat melupakannya dengan mudah selepas beberapa kali nyawanya berada di hujung tanduk dalam usahanya melepasi kepungan kumpulan pemberontak yang sedang hebat bersengketa.
Dalam usaha itu juga, Brigedier Jeneral Muslim Yusof, 54, yang ketika itu berpangkat Kolonel sempat menyaksikan pelbagai kisah ngeri di negara yang nilai nyawa manusia menjadi begitu murah sekali angkara persengketaan lapan kumpulan pemberontak yang mahu menumbangkan Presiden Samuel Doe.
Di Liberia juga pemberontak kanak-kanak begitu ganas serta sering merogol dan membunuh orang awam jika segala kehendak mereka tidak dipenuhi.
Persediaan untuk mengundurkan pasukan pimpinan Muslim telah dibuat sejak bulan Mac lagi apabila tercetus pertempuran antara puak Mandingos (ULIMO) yang dipimpin oleh Leftenan Jeneral Al-Haji Kromah yang terkenal dengan tabiat suka memakan hati manusia dengan puak Kran yang dipimpin oleh Mejar Jeneral Roosevelts Johnson.
Pertempuran secara berterusan yang mengorbankan banyak nyawa itu sedikit sebanyak mengancam keselamatan pemerhati PBB.
Menjelang 4 September 1994, tanda-tanda perang besar akan tercetus semakin jelas berikutan tersebar berita ramai pemerhati PBB telah ditawan.
Esoknya pula, Muslim mendapat tahu antara 5,000 hingga 6,000 penduduk mula berpindah apabila mendengar berita pihak ULIMO telah menyerang NPFL.
Subuh itu, beliau terdengar pula bunyi tembakan di kedudukan kumpulan Charles Taylor (kini Presiden Liberia) yang terletak tidak jauh dari pangkalannya.
“Ketika itu, saya fikir inilah masanya untuk berundur kerana kumpulan pemberontak tentu tidak akan hiraukan kami kerana sibuk untuk menewaskan musuh masing-masing,’’ katanya.
Ketika mahu berundur keadaan sudah semakin genting. Bangunan separuh batu yang menjadi tempat perlindungan mereka juga mula dihujani tembakan mortar.
Pagi 10 September, Muslim mendapat maklumat kira-kira 2,000 tentera NPFL mahu melakukan serangan balas ke atas ULIMO untuk menawan semula Banga.
Keadaan itu, sedikit sebanyak semakin menyulitkan lagi usaha mereka untuk menyelamatkan diri. Keesokan harinya, tanpa diduga suasana senyap sunyi, tidak seperti semalam yang bising dengan bunyi tembakan.
Berperang
Tidak lama selepas itu, wakil NPFL yang kena serang datang dan mengajak Muslim dan pasukannya menyaksikan mereka berperang.
“Saya jelaskan kepada mereka, kalau nak berperang, peranglah, tetapi kami tidak akan turut serta. Takut nanti pihak ULIMO tuduh kami menyebelahi NPFL pula,’’ kata Muslim.
Bersama mereka berlindung di pangkalan tersebut ialah enam petugas bantuan PBB, empat pekerja tempatan dan empat tentera Tanzania.
Untuk keluar dari situ, Muslim membahagikan mereka kepada enam kenderaan dan mula bergerak sebaik sahaja terdengar bunyi tembakan yang menandakan kedua-dua kumpulan kembali bertempur.
Saya lihat tidak ada satu mayat pun yang sempurna. Telinga dipotong, mata telah dicungkil, perut telah dibelah dan ada yang memakan hati manusia mentah-mentah. Melihat itu, hati saya menjadi kecut. Kalau silap langkah, mungkin kami juga akan jadi seperti itu.
Baru beberapa minit keluar dari pangkalan, dugaan pertama hadir apabila terpaksa melalui pusat pemeriksaan (CP) pemberontak. Di Wilayah Utara sahaja terdapat 150 CP.
“Saya terpaksa menggunakan pelbagai helah untuk melepasi setiap CP. Ada kalanya saya meninggikan suara terhadap pemberontak.
“Jika tidak mereka akan mempermainkan kami dan merampas segala barangan kami. Saya juga tidak mahu mereka syak yang kami sedang menyelamatkan diri,’’ ujarnya.
Disebabkan terlalu banyak sekatan, pasukannya perlu berhadapan dengan ramai komander kumpulan pemberontak.
Bagaimanapun, di CP terakhir, nasib mereka kurang baik apabila kenderaan mereka digeledah dan ditahan.
Mereka juga dipaksa turun dari kenderaan. Lambat sikit, mereka ditampar, diacukan senjata ke badan dan ditendang.
“Tetapi saya nasihatkan anggota saya jangan melawan kerana tahu jika ada yang berbuat demikian, padahnya pasti teruk memandangkan kebanyakan mereka telah mengambil dadah dan sedang dahagakan darah,’’ katanya.
Walaupun begitu, mereka bernasib baik kerana pertempuran tercetus tidak jauh dari situ tidak lama kemudian. Dalam keadaan kelam-kabut itu, Muslim mengambil kesempatan meninggalkan segera tempat tersebut.
Pukul empat petang, Muslim tiba di Cari yang turut menempatkan tentera pengaman Tanzania. Mereka terpaksa bermalam di situ, bersama 17,000 pelarian yang sedang mencari perlindungan.
Dihalang Pelarian
Esoknya, mereka mahu meninggalkan Cari, namun dihalang oleh pelarian. Ekoran itu, Muslim terpaksa memanggil semua ketua puak yang ada untuk berbincang.
Selepas berbincang selama dua hari, mereka bersetuju melepaskan konvoi PBB pada 14 September. Tetapi masih ramai pelarian cuba menghalang sebagai tanda protes.
Tepat pukul 11 mereka tiba di Soukoko, kawasan yang dikuasai oleh NPFL bersama tentera pengaman Tanzania selepas membelah lautan pelarian selama lima jam.
Sebaik memasuki kawasan pekan, konvoi PBB terpaksa berhenti setelah dihalang dengan tali yang merentang jalan raya oleh pemberontak.
Ketika itu, kenderaan yang dipandu Mejar Tamat Lamon dari Malaysia berada di depan sekali. Pada masa yang sama kelihatan beberapa gerila sedang menjerit “bunuh!…bunuh!’’ berulang kali.
Mereka kemudian dipaksa turun dari kenderaan. Alangkah terkejutnya Muslim apabila melihat tali tersebut adalah tali perut manusia yang telah disambung-sambung milik beberapa mayat yang bergelimpangan tidak jauh dari situ.
“Saya lihat tidak ada satu mayat pun yang sempurna. Telinga dipotong, mata telah dicungkil, perut telah dibelah dan ada yang memakan hati manusia mentah-mentah.
“Melihat itu, hati saya menjadi kecut. Kalau silap langkah, mungkin kami juga akan jadi seperti itu,’’ katanya.
Perasaan takut itu bagaimana pun berjaya disembunyikannya buat seketika. Untuk menyelamatkan diri, Muslim membuat helah dengan meminta berunding dengan ketua mereka.
Pada rundingan itu, pemberontak hanya bersetuju melepaskan tentera Tanzania sahaja, manakala Muslim dan 11 yang lain mahu terus ditahan.
Tetapi beliau berkeras meminta kesemuanya dilepaskan, menyebabkan ada antara pemberontak naik angin dan mahu membunuh mereka.
Dalam keadaan tegang itu, tentera Tanzania menghampiri Muslim dengan senjata menyebabkan kemarahan pemberontak tersebut reda dan akhirnya setuju melepaskan mereka semua tanpa apa-apa syarat.
Pada pukul 3.15 petang mereka tiba di Kakata, 75 kilometer dari Monvoria, ibu negara Liberia.
Pekan ini dikuasai oleh puak Kran. Waktu itu, Muslim merasakan peluang untuk sampai ke Monvoria terbuka luas lantas menghubungi pemerhati Malaysia yang berada di Monvoria sambil menyatakan mereka akan sampai dalam dua jam.
Tetapi lima minit selepas itu, tanpa diduga mereka diserang pemberontak.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, Muslim sempat menarik seorang petugas bantuan PBB yang berlindung di bawah Land Rover.
Beliau kemudiannya berlindung di satu kawasan lubang bersama beberapa yang lain. Dari situ mereka menyusuri sebuah parit sepanjang kira-kira 400 meter dengan peluru bersimpang siur di atas kepala. Tiba di tempat yang lebih selamat, beliau mendapati Tamat tiada sedangkan yang lain ada bersamanya.
“Saya cuba hubunginya melalui radio set tetapi tiada jawapan. Waktu itu yang terlintas dalam fikiran saya, ialah kemungkinan Tamat telah ditembak mati memandangkan kenderaannya telah ditembusi banyak peluru,’’ kata Muslim.
Tembak menembak antara pemberontak dengan tentera Tanzania berlarutan selama tiga hari. Pada hari kedua pertempuran beliau lega apabila mengetahui Tamat selamat. Dalam pertempuran tersebut, dua tentera Tanzania terbunuh manakala pemberontak Kran turut ramai terkorban dan cedera.
Pada 18 September, wakil PBB di Monvoria yang dimaklumkan tentang pertempuran itu telah datang menyelamatkan mereka dengan mengadakan rundingan dengan Johnson.
Pemberontak bersetuju melepaskan mereka dengan syarat semua makanan dan ubatan ditahan. Baru hendak meninggalkan Kakata, Muslim menerima mesej bahawa Johnson mahu berjumpanya dan pegawai memerintah tentera Tanzania.
“Ketika itu, saya ingat matilah saya memandangkan orang-orangnya jelas mahu membunuh saya. Masa itu saya berserah kepada Allah tentang nasib saya,’’ kata Muslim.
Sewaktu menghampiri Johnson, Muslim lega apabila Jeneral itu berkata: “Kali ini saya lepaskan awak tetapi lain kali, tidak boleh.’’
Selepas itu Muslim terus ke Monvoria. Di sana beliau mendapat tahu berita mengenai penahanan serta usahanya melepasi kepungan selama 10 hari sentiasa dihantar ke Kementerian Pertahanan dan turut mendapat liputan meluas media di Malaysia.
Selepas peristiwa itu, Muslim diberi pilihan sama ada kembali ke tanah air atau bertukar ke Bosnia. Beliau memilih untuk ke Bosnia walaupun kontraknya sepatutnya tamat lima bulan lagi.
Keberanian dan kebijaksanaan yang ditunjukkannya telah berjaya menyelamatkan nyawa semua pemerhati PBB yang berada di bawah arahannya. Kejayaan itu sekali gus menaikkan lagi imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mata dunia. – MYNEWSHUB.CC
Ketika itu, saya ingat matilah saya memandangkan orang-orangnya jelas mahu membunuh saya. Masa itu saya berserah kepada Allah tentang nasib saya.
*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.