SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan menaikkan kuota pembinaan rumah mampu milik ‘Jenis A’ yang berkonsepkan rumah teres berharga RM80,000 kepada 20 peratus berbanding 15 peratus pada masa kini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata manakala bagi rumah mampu milik ‘Jenis B’ yang dibawah RM250,000 dikekalkan sebanyak 15 peratus dan rumah mampu milik ‘Jenis C’ yang berharga RM400,000 ke bawah dikurangkan kepada 15 peratus.
“Kita punya Dasar Perumahan Negeri Sembilan dahulu ialah 15 peratus rumah mampu milik kategori A, 15 peratus kategori B dan 20 peratus kategori C. Kita telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri Sembilan dan mereka bersetuju dengan perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Kerajaan negeri menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik menetapkan sebanyak 50 peratus rumah mampu milik dibina dalam setiap projek pembangunan perumahan di Negeri Sembilan.
Manakala baki 50 peratus rumah yang hendak dibina terpulang kepada pemaju untuk menawarkan perumahan mewah.
Mohamad berkata Dasar Perumahan Negeri Sembilan diterima baik pemaju perumahan kerana permohonan untuk rumah mampu milik ini terutamanya Jenis A sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.
Dalam pada itu, menteri besar berkata kerajaan negeri juga memutuskan premium tanah atau premium pembangunan untuk rumah jenis Jenis A yang dibangunkan pemaju akan diberi diskaun sebanyak 50 peratus.
“Misalnya kalau premium terpaksa bayar RM500,000, kita beri diskaun, cuma bayar RM250,000 sahaja. Tindakan ini diambil untuk mengurangkan bebanan pihak pemaju. Kita mengurangkan pendapatan demi untuk memastikan dasar rumah mampu milik di negeri ini dapat kita diteruskan dan rumah kategori A RM80,000 ke bawah ini kita perbanyakkan lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kerajaan negeri telah meluluskan dua lokasi rumah generasi kedua Felda iaitu di Felda Pasoh 1 dan Felda Pasir Besar untuk diberikan hak milik secepat mungkin.
“Kita sudah berunding dengan Felda dan kita pendekkan proses dan berikan kelonggaran kerana rumah-rumah ini berada di dalam kawasan Felda. Ini untuk memudahkan Felda menyerahkan segera rumah-rumah yang telah siap kepada pembeli (generasi kedua Felda).
“Sebanyak 264 rumah generasi kedua Felda telah siap dibina itu 144 unit di Felda Pasoh 1 dan 120 unit di Felda Pasir Besar. Rumah-rumah ini telah siap tapi Felda tidak dapat menyerahkannya kepada pembeli kerana belum mendapat perakuan sijil pematuhan selesai pembinaan (CCC). Oleh itu, kita harap rumah-rumah itu segera diserahkan kepada pembeli,” katanya. – BERNAMA