KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri (PMO) yang memberi sokongan terhadapnya bagi memastikan perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar sepanjang sembilan tahun menjadi perdana menteri.
Perdana Menteri menerusi laman Twitternya berkata beliau akan terus menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negara.
“Insya-Allah, tanggungjawab sebagai pemimpin ini akan saya terus galas, bawa Malaysia ke arah yang diimpikan,” katanya.
Beliau turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan pulut kuning yang dihiasi ukiran sayur-sayuran dan bunga-bungaan disertai ucapan: “YAB Datuk Seri Tahniah diucapkan sempena ulang tahun ke-9 sebagai YAB Perdana Menteri. Ikhlas PMO.”
Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 3 April 2009, bagi menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. – BERNAMA