Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

BN P.Pinang Tonjol 31...

BERSEDIA... Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menampilkan 60 peratus muka baharu termasuk tujuh...

Anak Malaysia Pembawa Bola...

MESKIPUN Malaysia tidak hantar pasukan bola sepaknya ke Piala Dunia Rusia 2018, namun...

Lebih 2.6 Juta Dos...

KUALA LUMPUR - Lebih 2.6 juta dos vaksin COVID-19 sudah diagihkan di seluruh...

Ibu 52 Tahun Masih...

SYDNEY – Kebanyakan ibu hanya beri susu badan eksklusif selama 6 bulan atau paling...

Najib Yakin PRU Memihak Kepada BN – Bloomberg

OPTIMIS… Selepas hampir genap lima tahun memimpin Barisan Nasional (BN) menang tipis, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini adalah jauh beza situasinya.

Dalam wawancara eksklusif dengan stesen Bloomberg, Perdana Menteri menaruh keyakinan BN bakal meraih keputusan lebih baik sekali gus mengatasi bekas mentor politiknya, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada PRU ke-14.

Menerusi temubual Rosalind Mathieson dan Shamim Adam julung kali dengan media antarabangsa selepas tiga tahun, Najib turut membicangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya diselesaikan tanpa masalah.

Namun kali ini, beliau mengakui berdepan pertarungan sengit mempertahankan BN yang sudah berkuasa selama enam dekad dalam menempuh PRU dan kini menjadi agak personal dengan kehadiran bekas pemimpin partinya.

Ia pertandingan bagi menentang individu itu yang pernah membantu dirinya ke puncak kuasa pada 2009 lalu dan pertarungan untuk memenangi undi majoriti penduduk negara ini iaitu Melayu daripada ancaman tersungkur.

Ketika temuramah di ibu pejabat partinya di ibu negara, Najib menyentuh kejayaan BN pada 9 Mei ini menjanjikan peluang peningkatan ekonomi, lebih pendapatan, pemotongan cukai korporat dan juga masa depan politik dirinya.

Beliau juga berjanji memulihara kembali UMNO setelah berpecah dengan kelahiran parti serpihan yang kemudian bakal dibubarkan akibat masalah dalaman, selain memperbaiki undi popular dan menang majoriti dua pertiga.

“Kami amat yakin mampu peroleh keputusan baik. Sebenarnya tiada gelombang tukar kerajaan… saya tidak nampak itu akan berlaku. Malah saya bukan mahu kata kita dapat majoriti besar tetapi keputusannya lebih baik,” jelas Najib.

Pemimpin berusia 64 tahun itu turut optimis Pakatan Harapan (PH) diterajui Mahathir, seumpama koleksi pelbagai pakaian yang berbeza dengan DAP lebih menonjol terpaksa digunakan untuk meraih sokongan politik etnik Cina.

“Saya tidak dapat lihat bagaimana mereka boleh bekerja bersama-sama,’’ sindir Najib merujuk latar belakang parti dalam PH yang sehingga kini belum diiktiraf Jabatan Pendaftar Pertubuhan dan terpaksa bertanding atas logo PKR.

Sejak 2013, beliau bekerja keras membina sokongan terutama akar umbi di luar bandar untuk mengekang pengaruh Mahathir yang dinamakan PH sebagai bakal perdana menteri waima sudah uzur berusia 93 tahun pada bulan depan.

Najib namun meramalkan blok pembangkang itu bakal hilang banyak undi selepas PAS yang bantu mereka pada PRU 2013 kini bergerak sendirian selain pengundi Cina dan bandar kini kurang semangat menyokong PH sendiri.

“Hari ini, mereka tahu ini bukan lagi mustahil. Justeru saya fikir rasa keterujaan itu sudah berlalu,” katanya. Beliau kemudian mendedahkan bagaimana pembangkang ketandusan isu dan terpaksa fokus kepada permasalahan remeh.

Dengan pertumbuhan ekonomi cecah 5.9 peratus tahun lalu, antara tertinggi di dunia selain kadar inflasi dapat dikawal, pembangkang mula ‘main’ isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 2015 sebagai bahan kempen.


Ini ditularkan setelah isu 1MDB semakin kurang diperkatakan mereka. Bercakap mengenai kemelut sayap pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu, Najib berkata “anda tidak boleh tuduh seseorang itu pencuri kecuali ada bukti.”

Kesal dengan cara pembangkang memutar belit itu itu beliau menjelaskan, “Ia sudah dibersihkan, tiada salah laku. Saya tetap dengan pendirian ini, namun kita belajar dari kesilapan dan saya akan lebih ketat menyelia operasinya.”

Menyentuh mengenai UMNO, Najib yang sudah memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin digantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau percaya segala masalah dalaman parti tunjang BN itu berjaya diminimumkan.

“Saya percaya untuk membina perhubungan personal dalam parti, maka waima dalam keadaan sukar, parti tetap sokong saya. Mereka (pembangkang) tidak dapat ‘goncang’ saya kerana asas sokongan ini amat kukuh,” tegas beliau.

Ditanya isu Akta Antiberita Tidak Benar diluluskan Parlimen bulan lalu kemungkinan menyekat kebebasan bersuara rakyat dengan hukuman berat, Najib berkata media sosial di Malaysia “jauh lebih bebas berbanding banyak negara.”

“Anda boleh kritik kerajaan, tidak setuju dengan pihak berkuasa, seru jangan undi parti pemerintah… itu boleh. Saya masih terima tetapi bukan sebar cerita palsu,” jelas Najib merujuk kes pembohongan pembangkang setiap kali PRU.

Bercakap mengenai Mahathir yang sering membuat tohmahan jahat terhadap dirinya, Najib berkata, bekas perdana menteri itu mungkin gagal suai diri dengan perubahan senario politik semasa dan kekal dengan zaman dahulunya.

“Saya rasa dia obses mengenai kuasa, walhal kami agak rapat dan beliau pernah saran ditubuhkan sebuah majlis pemimpin lama. Bayangkan sudah tentu dia akan jadi pengerusi dan saya perlu dapat izinnya untuk buat sesuatu.”

Najib bagaimanapun agak berhati-hati apabila diminta komen perkembangan politik Singapura yang menyaksikan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kelmarin merombak Kabinet dan menyediakan barisan pelapis masa depan.

“Ini tugas pemimpin untuk membentuk bakal pengganti. Kita juga melakukannya namun buat masa ini saya lebih tumpu untuk tempoh lima tahun ke depan memastikan pelan transformasi dirangka mencapai kejayaan,” katanya.

Hakikatnya, Najib kali ini melangkah PRU ke-14 dengan penuh yakin untuk menang besar ketika pembangkang pula dilanda pelbagai isu tersendiri akibat perbezaan ideologi dan drama perebutan kuasa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kategori