SUATU masa dahulu, industri muzik tempatan pernah dilanda ‘demam’ lagu Cinta Muka Buku dendangan penyanyi Najwa Latif.
Kini, Najwa sekali lagi keluar dengan single baharunya berjudul Jauh dan dengan itu, dia turut menafikan dakwaan kononnya lagu berkenaan ada kaitan dengan kisah peribadinya.
“Lagu Jauh ini tiada kena mengena dengan cerita peribadi saya. Ia hanyalah situasi rindu ketika berjauhan yang mungkin semua orang pernah alami,” katanya dipetik daripada portal mStar Online.
Bagi Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, lagu berkenaan dihasilkan secara umum dan terpulang kepada individu itu bagaimana cara mereka tafsirkan lagu berkenaan.
Sebab utama Najwa memberi komen seperti itu ialah apabila ada peminat yang menyangkakan bahawa muzik video lagu itu bagaikan menceritakan kisah beribadi kehidupan gadis muda berusia 23 tahun itu.
Selain Najwa, kakaknya Ika Latif turut memberi peranan yang besar dalam pembikinan lagu berkenaan selaku penulis lirik dan komposer.
Selama tujuh tahun menceburi dunia seni, Najwa mengharapkan agar peminat dapat melihat sisi lain karyanya.
Malah, lagu berkenaan turut mencerminkan diri Najwa yang kini semakin matang seiring dengan usia penglibatannya dalam industri hiburan yang penuh cabaran ini.
“Setelah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang penggubahan lagu, saya mahu dewasa bersama karya-karya saya.
“Saya akan terus belajar sedikit demi sedikit bagi memenuhi halwa telinga para peminat,” tambahnya.
Dalam masa sama, graduan Universiti Tunku Abduk Rahman itu turut mendedikasikan lagu Jauh buat peminatnya yang selama ini tidak pernah penat menyokongnya. – MYNEWSHUB.CC/AH