VIDEO seorang penjual kereta terpakai di Pendang, Kedah yang merayu agar penguatkuasa majlis daerah di situ agar menangguhkan operasi merobohkan premisnya mengundang pelbagai reaksi netizen di Facebook.
Berdasarkan rakaman yang tular itu, lelaki berkenaan dilihat merayu agar diberikan tempoh untuk dia mengalihkan kesemua kenderaan yang berada di premisnya itu.
Namun dia mengakui tidak mempunyai hak di atas tanah rizab kerajaan itu dan mengharapkan budi bicara pihak Majlis Daerah Pendang (MDP) agar memberi tempoh untuk mengalihkan semua kenderaan terbabit.
“Kami bukan buat bantahan, kami sedar kami duduk atas tanah kerajaan tetapi kami hanya mohon ikhlas untuk sehari sahaja untuk kami buat.
“Kami mohon sehari saja untuk kami buang perkakas ini tetapi tidak mendapat kelulusan. Kami minta tempoh satu hari sahaja.
“Saya nak viralkan kan perkara ini bagi orang Pendang, orang Kedah dan orang Malaysia tahu semua betapa kejamnya manusia sekarang ni.
“Nak roboh-robohlah, nak tangkap-tangkap lah, kami nak alihkan kereta sat pun tak bagi, zalim sangat ka… dalam kubur nanti macam mana? Manusia Islam Melayu macam kami juga,” katanya.
Turut kelihatan beberapa individu dipercayai kakitangan premis berkenaan yang cuba memberikan sokongan kepada lelaki itu namun ia cuba ditenangkan oleh sepasukan anggota polis dan beberapa penduduk setempat.
Difahamkan, lelaki terbabit sudah menghantar surat rayuan kepada MDP namun permintaannya itu dikatakan tidak mendapat kelulusan.
Pun begitu, pihak MDP sudahpun memberi notis untuk merobohkan kedai itu beberapa hari lalu namun dia memberi alasan konon tempoh yang diberikan adalah terlalu singkat.
Netizen pula rata-ratanya meminta agar lelaki terbabit tidak menegakkan benang yang basah di mana pihaknya dikatakan telah menerima notis dan diberikan tempoh masa secukup namun ia tidak dipatuhi.
“Sikit-sikit kerajaan salah, ko yang bengap mesti surat notis dah samapai lama. Pastu sedar pun dah duduk tanas kerajaan, sejak bila sedar tu? Dah sedar terus blah la yang duk bertapa kat situ lagi apehal? Takda orang heran la viral kau ni,” tulis seorang netizen. -MYNEWSHUB.CC