SEREMBAN – Nasib 43 keluarga bekas pekerja estet di Ladang Kirby, Labu terbela apabila kerajaan bakal membina rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak 200 unit membabitkan kos RM39 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata 200 unit rumah bakal dibina di atas tanah seluas 6.7 hektar untuk keperluan pekerja estet berkenaan dan generasi yang seterusnya.
“Pekerja-pekerja estet di sini sudah diarah untuk berpindah ke kawasan lain kerana khidmat mereka tidak lagi diperlukan apabila ladang yang dahulunya menanam pokok getah telah ditukar kepada penanaman kelapa sawit sekali gus telah mengurangkan penggunaan tenaga kerja untuk proses pengoperasian.
“Mereka (penduduk) pernah ditawarkan pampasan oleh pihak Sime Darby dan kerajaan negeri suruh mereka berpindah di rumah PPR dekat Senawang namun kebanyakan mereka enggan berpindah kerana mereka menjalankan penternakan lembu dan kambing dan mereka tidak boleh membawa haiwan ternakan mereka ke perumahan bandar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PPR Desa Sutera Ladang Kirby, Labu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu Datuk Hasim Rusdi.
Mohamad berkata kebanyakan pekerja estet tersebut tidak mahu meninggalkan Ladang Kirby kerana mereka sudah lama menetap dan membesar di sana selama dua generasi.
“Kerajaan telah mengambil keputusan untuk membina kawasan perumahan buat keluarga di estet kerana mereka ini walaupun hanya sebagai pekerja ladang namun tanpa mereka negara tidak akan dapat mampu membangun seperti ini, oleh itu keluhan mereka didengari kerajaan.
“Pekerja di estet ini hanya perlu membayar RM35,000 untuk seunit rumah walaupun harga asalnya adalah RM195,000 namun kerajaan telah mensubsidikan sebanyak RM160,000 manakala bagi warga emas yang tidak mampu membuat pinjaman, kerajaan menawarkan konsep sewa beli dengan membayar RM250 sebulan selama 25 tahun sahaja,” katanya.
Kawasan perumahan PPR Desa Sutera, yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun, akan turut dilengkapi dengan balai komuniti, tadika, taska, tapak rumah ibadat bukan Islam, taman permainan dan landskap. – BERNAMA