MELAKA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan nilai jualan menerusi Program Jimat Belanja Dapur (JBD), yang dianjurkan di seluruh negara mampu mencecah RM250 juta menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar berkata sehingga kini nilai jualan 27 barangan keperluan mencecah RM30.5 juta dalam tempoh tiga bulan sejak Januari lepas, dan angka berkenaan dijangkakan terus meningkat ekoran sambutan menggalakkan daripada pengguna di seluruh negara.
Beliau berkata menerusi program JBD, barangan terpilih seperti ayam, sayur, barangan runcit dan kawalan, dijual pada potongan antara lima hingga 20 peratus secara terus kepada pengguna.
“Program JBD bukan agenda politik, sebaliknya merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu rakyat mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat, selaras dengan pencapaian sebagai negara maju serta memberi nilai penjimatan kepada pengguna.
“Menerusi program ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta sebagai modal pusingan untuk pelaksanaannya sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Jualan JBD peringkat negeri Melaka, di sini hari ini.
Pelancaran berkenaan disempurnakanoleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, dan turut dihadiri Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman serta Pengarah FAMA negeri Che Samudin Hassan.
Mansor berkata pelaksanaan program JBD itu melibatkan 718 pasar tani, 426 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), 110 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M), MyFarm (enam) dan ‘My Best Buy’ seluruh negara, manakala di Melaka sebanyak 42 premis jualan termasuk di pasar tani, ABR1M, AKR dan ‘My Best Buy’ turut-serta melaksanakannya.
Beliau berkata barangan yang dijual menerusi program JBD dapat dijual pada harga lebih rendah berbanding medium pasaran lain kerana ia merupakan hasil tani yang diperoleh secara terus daripada petani tanpa melalui orang tengah.
“Program ini secara tidak langsung juga turut membantu petani untuk memasarkan hasil pertanian mereka dan membimbing mereka menjadi usahawan tani yang berjaya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata nilai jualan bagi program JBD di negeri Melaka berjumlah RM2.9 juta menerusi 62 penganjuran di premis jualan dalam tempoh Januari hingga 20 April lepas.
Katanya daripada jumlah itu, jualan menerusi pasar tani merekodkan jumlah tertinggi iaitu kira-kira RM2.3 juta, diikuti ‘My Best Buy’ (RM122,000), Program Jalinan Sentuhan Rakyat (308,781.22) serta AKR dan ABR1M (RM76,000). – BERNAMA