TANJONG KARANG – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, akan ditentang calon PAS dan PKR.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tanjong Karang Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor mengesahkan pencalonan kesemua mereka di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Hormat, di sini hari ini.
Noh, 60, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merupakan anggota Parlimen selama lima penggal bagi kerusi Tanjong Karang sejak 1995.
Calon PAS pula merupakan Penyelaras Pusat Khidmat PAS Tanjong Karang Nor Az Azlan Ahmad, manakala calon PKR ialah Kapten (B) Datuk Dr Zulkaferi Hanafi.
Pada pilihan raya umum lalu, Noh memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 4,394 undi.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, pertandingan tiga penjuru berlaku antara calon BN Datuk Sulaiman Abdul Razak yang juga penyandang kerusi itu, calon PKR Rozana Zainal Abidin dan calon PAS, Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud.
Sementara itu, pertandingan tiga penjuru turut berlaku di DUN Sungai Burong yang menyaksikan pertembungan calon BN yang juga penyandang, Datuk Mohd Shamsudin Lias, calon PAS, Mohamad Zamri Moh Zainuldin dan Tarmizi Lazim (PKR).
Parlimen Tanjong Karang mempunyai 47,198 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 35,382 orang, Cina (7,532), India (4,240) dan kaum lain (44). – BERNAMA