OSLO – Jika Jepun terkenal dengan tandas automatiknya di seluruh negara Asia Timur itu, tandas di Norway ini mungkin boleh dianggap sebagai antara tandas yang paling cantik seni bina di dunia.
Terletak di Gildeskål, berdekatan kawasan Norwegian Scenic Route Helgelandskysten, reka bentuk tandas ini menggunakan reka bentuk minimalis dan bumbungya pula bergelombang, menurut laman media tempatan.
Apabila waktu malam, cahaya dipancarkan dari tandas ini bersinar terang dan jika ia dilihat dari jauh, orang ramai mungkin boleh tersilap pandang apabila menganggap bangunan jamban kumbahan ini sebagai sebuah hotel.
Baru dirasmikan akhir bulan lalu, reka bentuk tandas ini mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong asing di Norway. Dari tandas ini sahaja, mereka dapat melihat pemandangan panorama pantai dari pergunungan ais.
Malah, tandas ini bukan hanya tandas biasa! Terdapat kawasan pertunjukan terbuka dan juga tempat letak kereta awam disediakan, menurut kenyataan badan pelancongan kebangsaan, Nasjonale turistveger yang dipetik media.
Bagaimanapun laman Lonely Planet yang ditukil portal BBC Indonesia, melaporkan kerajaan Norway sedang merancang untuk memperbanyakkan tandas seperti ini di kawasan lain yang sering dikunjungi ramai pelancong.
Ini termasuk di Ryfylke, Hardangervidda, Helgelandskysten, Andøya dan Lofoten. Bahkan, ini bukanlah tandas indah yang pertama seumpamanya dibina di Norway. Tandas awam di Aurland antaranya juga mirip jamban ini.
Bezanya, ia terletak di hujung cenuram fjord yang memiliki pemandangan indah rantau Skandinavia ke kawasan pergunungan Lofoten Wall iaitu laluan terpanjang Norway melintasi Lingkaran Artik antara Holm dan Bodo.
Tandas ini mendapat sentuhan arkitek berpangkalan di ibu kota Oslo, Marit Justine Haugen dan Dan Zohar dengan kos berjumlah 15.6 juta krone Norway (kira-kira RM7.8 juta) serta menjalani kerja ubah suai pada tahun lalu.
Jika anda duduk di jamban seperti itu, tentunya dapat menikmati permandangan yang indah dari kawasan tinggi segar bebas daripada sebarang pencemaran alam, menurut BBC Indonesia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA