TIDAK dinafikan, pelakon, Fattah Amin merupakan antara nama besar dalam industri seni lakon tanah air ketika ini dan ini dapat dilihat melalui penglibatannya dalam drama serta filem di bawah produksi-produksi ternama.
Pelakon yang dianggap ‘kayu’ oleh netizen di awal penglibatannya ini kini berjaya menjadi pilihan pihak produksi untuk dijadikan teraju utama dalam drama dan filem yang dikeluarkan.
Bagaimanapun, populariti seseorang pelakon itu tidak bermakna mereka tidak perlu memperbaiki diri bagi mempersembahkan lakonan yang terbaik dan berkualiti kepada penonton.
Justeru, pelakon senior, Fauziah Ahmad Daud menjemput aktor popular itu untuk hadir mengikuti kelas lakonan yang diadakan olehnya bagi memantapkan lagi lakonan pada masa akan datang.
Jelas Fauziah atau lebih dikenali dengan nama Ogy, Fattah perlu menguasai pelbagai teknik lakonan bagi memperkasakan penghayatan watak yang dibawa.
“Saya mahu Fattah Amin untuk datang ke kelas saya belajar lebih banyak ilmu daripada segi lakonan supaya dapat mempelbagaikan teknik penyampaian dalam lakonan,” katanya memetik portal Astro Gempak.
Mengakui Fattah kini sedang berada di kemuncak, Ogy berkata pelakon itu perlu memanfaatkan ruang yang dimilikinya ketika ini dengan menampilkan tahap lakonan yang berkualiti kepada penonton.
“Rugi sekiranya dia tidak menggunakan peluang yang ada sekarang ini kerana namanya tengah popular,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ogy mendapati antara kelemahan nyata yang dialami oleh pelakon kini adalah mereka hanya menghafal skrip dan sering mengabaikan penguasaan emosi ketika menghidupkan karakter yang dibawa.
“Apa yang saya lihat pelakon sekarang tidak tahu untuk bermain dengan emosi ketika berlakon. Mereka ini lebih pada menghafal skrip daripada penghayatan dalam setiap watak yang diberikan.
“Ini kerana mereka tidak faham situasi apa yang ingin dilakonkan jadi bagaimana mereka hendak faham emosi yang hendak disampaikan kepada penonton,” katanya kepada Astro Gempak.
Ogy ditemui ketika pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persembahan istimewa yang diadakan sempena sambutan Hari Ibu itu bakal diadakan pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur akan dimeriahkan oleh Safura dan Liza Hanim serta Ogy sebagai pengacara.
Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak). – MYNEWSHUB.CC/EZ