IPOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan mati dipercayai terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Taman Menglembu Timur, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Chan Kwai Wah, 57, cacat pada bahagian kaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian belakang rumahnya berhampiran dengan pintu, dipercayai tidak sempat keluar dari rumah tersebut semasa kejadian berlaku.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamed Hariri Ahmad Shaibi berkata pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian tersebut kira-kira 11.12 malam tadi sebelum sepasukan anggota segera ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di kawasan dapur rumah tersebut dan pihak bomba segera melakukan operasi pemadaman.
“Setelah api berjaya dipadamkan sepenuhnya, terdapat seorang mangsa lelaki dijumpai di bahagian belakang rumah tersebut berhampiran dengan pintu dalam keadaan tertiarap dan disahkan mangsa meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seramai 21 anggota dari BBP Pasir Puteh dan Ipoh serta 23 anggota pasukan bomba sukarela dari BBP Pasir Pinji, Pekan Baru dan Bercham terlibat dalam operasi tersebut yang tamat sepenuhnya kira-kira 1.21 pagi.
Mohamed Hariri berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata kebakaran itu memusnahkan 40 peratus rumah berkenaan dan punca kejadian masih lagi disiasat. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…